Pages

Saturday, August 15, 2009

Persatuan Anak Negeri di IPT Wadah Penting Untuk Mahasiswa

Oleh : Syazwan Bin Ahmad


Kewujudan Persatuan Anak Negeri Di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) haruslah dipandang dalam sudut yang positif.Amat sedikit sekali IPT yang mempunyai persatuan anak negeri masing-masing.Antaranya ialah Universiti Malaya(UM),Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Universiti Putra Malaysia(UPM) dan Universiti Sains Malaysia(USM).Ramai yang melihat persatuan anak negeri sebagai persatuan yang bersifat kenegerian yang memecahbelahkan kelompok mahasiswa.Namun begitu tidak ramai yang memikirkan apakah sumbangan yang boleh diberikan persatuan ini kepada mahasiswa,masyarakat,negeri dan agama.


Kita perlu melihat bahawa persatuan anak negeri sebagai wadah penting dalam kepimpinan pada masa akan datang khususnya pada negeri kelahiran mereka.Kumpulan ini boleh dilihat sebagai orang penting dalam memperjuangkan isu masyarakat setempat.Mungkin kita masih ingat peristiwa Demonstrasi Baling yang mana menjadi isu yang sangat besar pada era 1970an.Isu kemiskinan dan penderitaan masyarakat di Baling ini diperjuangkan oleh kelompok mahasiswa.Walaupun ia merupakan isu nasional yang diperjuangkan oleh mahasiswa pelbagai negeri tetapi ia juga menjadi penyuntik semangat kepada mahasiswa dari Kedah untuk memperjuangkan masyarakat di Baling.Begitu juga mahasiswa dari Sabah dan Sarawak mewujudkan persatuan bagi menjaga kebajikan sesama mereka yang berada jauh di perantauan.


Persatuan anak negeri bukan sekadar menghimpunkan anak negeri di atas satu wadah tetapi mampu melahirkan modal insan yang berkualiti untuk disumbangkan kepada tanah kelahiran mereka sekiranya direncanakan dengan matlamat yang jelas dan sistem pembinaan yang tersusun.Persatuan ini perlu berorientasikan matlamat dan paradigma yang betul sekiranya mahu menjadi persatuan yang betul-betul berguna kepada masyarakat.Sifat-sifat Asabiyah atau kenegerian yang melampau sehingga mewujudkan sentimen kebencian sepertimana berlaku ketika perlawanan bola sepak antara sesebuah negeri perlu dihindarkan.Saya menolak pandangan yang mengatakan bahawa persatuan anak negeri di IPT boleh memecahbelahkan mahasiswa kerana para penggerak persatuan itu yang menentukan halatuju kumpulan tersebut.Kalau begitu pemikirannya baik kita bubarkan sahaja semua persatuan yang berorientasikan anak negeri seperti kelab penyokong bola sepak,persatuan belia dan sebagainya.Atas anggapan ini,maka banyak IPT yang tidak dapat diwujudkan persatuan anak negeri apatahlagi IPT yang ditubuhkan selepas era AUKU diperkenalkan seperti Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa(UIA).


Mutakhir ini telah wujud beberapa persatuan anak negeri di peringkat nasional seperti Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA Kedah),Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU Perak),Markas Siswazah Kelantan(MSK),Persatuan Mahasiswa Selangor(PERMAS),Persatuan Mahasiswa Terengganu, Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan(PERMANIS) dan Persatuan daripada mahasiswa Sabah dan Sarawak.Hal ini telah memberikan harapan baru kepada IPT yang tidak mempunyai persatuan anak negeri.Kewujudan gerakan ini telah membuktikan komitmen mereka dalam memberikan sumbangan bakti kepada negeri kelahiran mereka.


Saya rasa kagum dengan anak-anak muda Palestin yang sanggup mempertahankan tanah air mereka atas rasa cinta dan tanggungjawab kepada negara tercinta tidak seperti Israel yang sanggup membunuh rakyat Palestin agar ‘Negara Haram” mereka dapat ditegakkan.Semangat anak muda Palestin wajar kita contohi dan sikap Yahudi patut kita jauhi bak kata pepatah “Buat baik berpada-pada ,Buat jahat jangan sekali”.Seperti kata Sukarno,bekas Presiden Indonesia “Berikan aku 10 orang pemuda yang membara semangat cintanya pada tanah air nescaya cukup untuk menggoncang dunia”.


Penulis merupakan Timbalan Presiden Permadah merangkap Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA),sebuah NGO yang menghubungkan mahasiswa Kedah seluruh IPT di dalam dan luar negara.

0 KOMEN: