Pages

Wednesday, December 24, 2008

Tingkatkan kesedaran cegah demam Chikungunya


PENINGKATAN mendadak jumlah pesakit yang dijangkiti demam Chikungunya khasnya di Kedah begitu membimbangkan. Sebanyak 20 kes baru dilaporkan di negeri itu di mana daerah
Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi. Kes-kes tersebut hanya melibatkan pesakit yang mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan tetapi ada juga pesakit yang mendapat rawatan di klinik dan hospital swasta yang tidak dimasukkan dalam data tersebut.
Satu langkah drastik dan menyeluruh perlu diambil untuk membendung kes demam Chikungunya. Penduduk di kawasan terlibat perlu diberi penerangan dan penjelasan dengan pelbagai cara.

Semua pihak perlu melibatkan diri dalam kerja-kerja penjelasan khasnya Kementerian Kesihatan, Jabatan Penerangan dan agensi-agensi lain yang mempunyai kaitan dengan bidang kesihatan.

Chikungunya ialah penyakit bawaan nyamuk aedes albopictus atau aedes aegypty. Wabak Chikungunya mungkin sejenis penyakit baru yang juga disebabkan oleh nyamuk aedes. Mungkin berlaku salah anggapan mengenai penyakit ini kerana tanda-tandanya yang menyamai pesakit demam denggi. Demam Chikungunya tidak mempunyai rawatan khusus untuk pesakit.
Jadi amat wajar digerakkan pasukan khas untuk memberi penerangan dan bimbingan kepada penduduk terlibat tentang cara-cara mengelak daripada jangkitan wabak tersebut.
Pakej penerangan mesti meliputi punca, tanda-tanda dan langkah-langkah pengawalan penyakit.

Pelbagai cara dan pihak boleh dilibatkan dalam usaha ini. Umpamanya masjid boleh dijadikan saluran utama penerangan dan khutbah Jumaat misalnya boleh menjadi platform untuk memberi maklumat mengenai penyakit itu.

Peranan Majlis Agama Islam Negeri perlu diajak untuk terlibat secara serius dalam menangani penyakit demam Chikungunya. Sebelum sembahyang Jumaat boleh diselitkan pesanan dan ingatan yang dibacakan para bilal atau setiausaha masjid.

Risalah-risalah tentang Chikungunya juga boleh dicetak untuk edaran di masjid atau diselitkan di dalam akhbar. Pembaca akhbar akan mendapat maklumat melalui cara itu. Malah stesen-stesen minyak atau pusat membeli-belah boleh membantu usaha memberi maklumat dan kesedaran tentang wabak ini.

Apa yang lebih dituntut ialah peranan wakil-wakil rakyat dalam isu ini. Sebagai pemimpin yang dipilih secara sah mereka begitu dikenali di kawasan masing-masing. Sudah menjadi tanggungjawab bagi wakil rakyat untuk membentuk dan menggerakkan pasukan khas bagi memberi ingatan dan bimbingan tentang bahaya wabak ini.

Jawatankuasa khas boleh dibentuk di peringkat kawasan masing-masing dengan memohon kerjasama Jabatan Kesihatan dan agensi lain yang difikirkan sesuai.

Sesi ceramah di kampung-kampung atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan seperti mana yang dilakukan semasa berkempen pilihan raya dulu. Langkah ini boleh memberi kesan yang baik untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya Chikungunya.

Walaupun peratus untuk pesakit Chikungunya berhadapan dengan maut agak rendah tetapi rakyat perlu digerakkan untuk mementingkan kebersihan dan kesihatan.

Wakil rakyat juga boleh merangka program gotong-royong bersama rakyat di kawasan masing-masing secara berkala. Kalau di Kedah pagi Jumaat adalah masa terbaik untuk program bersama masyarakat.

Luangkan masa dua hingga tiga jam untuk kerja-kerja pembersihan longkang, mengenalpasti kawasan pembiakan nyamuk dan menerangkan kawasan semak-samun yang menjadi sarang nyamuk.

Peranan wakil rakyat bukan setakat menghimpunkan orang ramai untuk mendengar ceramah mengenai politik tetapi mereka harus lebih kreatif untuk mengubah minda rakyat mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM
Pendang, Kedah Darul Aman

sumber: UTUSAN MALAYSIA

Kedah catat 42 kes baru Chikungunya

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kedah mencatatkan sebanyak 42 kes baru Chikungunya sehingga semalam, kata Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman.

Beliau berkata, sebanyak 36 kes dikesan melalui pesakit yang datang mendapatkan rawatan di klinik, manakala enam kes lagi menerusi siasatan yang dilakukan oleh pegawai kesihatan.
Katanya, selain Kedah, negeri lain yang dilaporkan mempunyai kes terbaru adalah Kelantan mencatatkan satu kes, Selangor (2), Perak (3), menjadikan jumlah kes terbaru sebanyak 50 kes.

"Tiada kes baru dicatatkan untuk negeri-negeri lain pada masa ini, " katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 4,034 kes Chikungunya dilaporkan di seluruh negara dari April hingga bulan ini.

Johor mencatatkan sebanyak 1,809 kes, Selangor (306), Perak (556), Melaka (606), Pahang (318), Negeri Sembilan (173), Kelantan (118), Kedah (112), Kuala Lumpur (10), Putrajaya (10), Pulau Pinang (empat), Terengganu (empat), Sarawak (tiga) Perlis (tiga), manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan tiada kes dicatatkan.

Sementara itu di ALOR STAR, demam Chikungunya yang menyerang penduduk negeri ini sejak lebih seminggu lalu belum menunjukkan tanda ia akan reda apabila 14 lagi kes baru dilaporkan semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Shahidan Hashim berkata, kes-kes baru yang dilaporkan melibatkan daerah Pendang (enam), Kuala Muda (lima), Baling (dua) dan satu kes di Kota Setar.

Menurutnya, di daerah Pendang, kampung yang terlibat dengan kes baru ialah Kampung Watt Padang Peliang iaitu sebanyak dua kes dan masing-masing satu kes di Kampung Bukit Perak; Kampung Paya Mengkuang; Kampung Sawa Besar serta Kampung Pulai.

Wednesday, December 17, 2008

Utusan Malaysia

GURUN 16 Dis. - Lebih 700 penduduk di sekitar Kampung Batu Empat dan Batu Lima, Jalan Jeniang dekat sini mulai bimbang terhadap ancaman demam Chikungunya apabila wabak itu turut dikesan menular ke kawasan berkenaan semalam.Lebih merunsingkan, Jabatan Kesihatan Kedah mengesan kes baru dipercayai demam Chikungunya selepas dua mangsa dari Kampung Baru Batu Lima di sini dimasukkan ke Hospital Yan semalam.Mangsa disyaki dijangkiti penyakit itu selepas membuat pemeriksaan akibat demam panas, sakit sendi dan ruam pada anggota badan.

Seorang penduduk, Othman Salleh, 75, berkata, penduduk kawasan itu yang terdiri daripada 50 keluarga mula berasa bimbang apabila dua mangsa terbabit disyaki menghidap penyakit itu."Lanjutan daripada kes itu, kakitangan Jabatan Kesihatan daerah segera dikejarkan ke kawasan kami bagi membuat semburan nyamuk dan menjalankan pemeriksaan kesihatan," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pemeriksaan kesihatan dan penerangan demam Chikungunya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Dr. Leong Yong Kong dan pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Muda di sini hari ini.Othman mendakwa, sebelum ini beberapa penduduk termasuk dirinya dimasukkan ke hospital selepas lemah badan dan demam.

Chikungunya

Chikungunya ialah sejenis penyakit yang diakibatkan oleh alfavirus bawaan gigitan nyamuk Aedes aegypti. Penyelidikan terkini oleh Institut Pasteur di Paris menuntut bahawa virus ini telah mengalami mutasi yang membolehkannya untuk direbak oleh nyamuk Aedes Albopictus (bahasa Inggeris: Tiger mosquito). Ini adalah punca wabak di Lautan Hindi dan ancaman di pantai Mediterranean pada masa ini.

Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.

Chikungunya juga dilaporkan melanda penduduk Bolaang Mangondow (Sulawesi Utara), Jember (Jawa Timur) dan Kabupaten Bandung (Jawa Barat). Wabak Chikungunya pernah menjangkiti 27 orang di Pelabuhan Klang, Malaysia pada tahun 1999.

Nama penyakit ini berasal daripada perkataan Makonde yang bermaksud "sesuatu yang melengkung ke atas" dan merujuk kepada postur terbongkok-bongkok yang diakibatkan oleh gejala-gejala artritis. Penyakit ini diperihalkan buat pertama kali oleh Marion Robinson [1] dan W.H.R. Lumsden pada tahun 1955, menyusul satu peletusan di Penara Makonde di sepanjang sempadan antara Tanganyika dan Mozambique pada tahun 1952. Chikungunya berkait rapat dengan virus O'nyong'nyong.\

Chikungunya tidak dianggap sebagai suatu penyakit yang membawa maut. Bagaimanapun, pada tahun 2005-2006, 200 kematian telah dikaitkan dengan penyakit Chikungunya di Pulau Reunion dan di India Selatan, terdapat peletusan penyakit ini yang meluas (khususnya di Karnataka dan Andhra Pradesh).

GEJALA

Simptom penyakit Chikungunya termasuk demam yang mencecah 39 darjah Celcius, keradangan biasanya digambarkan sebagai petekia atau makulopapular biasanya membabitkan kaki, tangan dan badan, dan artralgia atau artritis menyerang pelbagai sendi yang boleh melumpuhkan sekiranya teruk. Terdapat juga sakit kepala, jangkitan conjunktiva, serta sedikit fotopfobia.

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi. Ujian serologi untuk Chikungunya terdapat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Tidak terdapat sebarang rawatan khusus bagai Demam Chikungunya. Penyakit ini biasanya terhad diri dan akan sembuh sendiri. Rawatan gejala dicadangkan selepas mengenepikan penyakit yang lebih merbahaya lain.

Sunday, December 14, 2008

Himpunan 10 Batch Alumni PERMADAH

Ikatan Siswazah Kedah Darul Aman (ISDA) dengan kerjasama ex-Presiden PERMADAH (Anuar) akan menganjurkan Himpunan 10 Batch Alumni PERMADAH bersempena majlis perkahwinan beliau .

Tarikh : 20 Disember 2008 (sabtu)
Masa : 3.45 Petang
Tempat: Kg. Bendang Dalam, Binjal, Jitra (Rumah Anuar).



  • Bagi yang bermasalah berkaitan lokasi diminta berkumpul di hadapan Hospital Jitra pada pukul 3.15 Petang.
  • Sebarang masalah sila hubungi 013-2228653
  • Bagi yang sudah berkeluarga digalakkan datang bersama keluarga masing-masing.
  • Sebarkan pada sahabat-sahabat yang lain.


"Bersama Perteguhkan Silaturrahim"