Pages

Saturday, June 16, 2007

Kenangan Terindah SMK Jeneri



Kami sayang semuanya..
Jadilah Insan berguna didunia dan akhirat.

Kem Ibadah SMK Jeneri
14-16 Jun 2007

PROGRAM MAHASISWA SEBAGAI SALURAN PUBLISITI

Jarang sekali kita melihat program-program yang dianjurkan atau yang diusahakan oleh golongan mahasiswa mendapat liputan atau perhatian yang meluas daripada pihak media atau sebagainya. Jika dilihat daripada sudut positif, publisiti yang bersesuaian kepada program mahasiswa akan lebih mendatangkan banyak faedah dan keuntungan kepada pelbagai pihak terutamanya kepada persatuan-persatuan mahasiswa disamping dapat meningkatkan persaingan berorganisasi didalam dan diluar kampus.

Suatu ketika kita pernah dikejutkan dengan kaji selidik mengenai keadaan golongan belia masa kini yang semakin hilang minat atau semangat untuk berorganisasi. Hal yang turut melanda golongan mahasiswa ini mendapat perhatian banyak pihak sehingga timbul ura-ura untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan persatuan-persatuan belia bergerak di IPTA. Saya ingin menarik perhatian disini sebenarnya banyak persatuan-persatuan yang telah wujud di IPTA dan apa yang perlu dilakukan kini ialah melahirkan penggerak-penggerak yang dapat menghidupkan semula persatuan-persatuan tersebut. Budaya berorganisasi perlu disemai di peringkat sekolah dan diperkemaskan di peringkat IPTA supaya kesinambungan daripada ini dapat mengaktifkan persatuan-persatuan belia atau NGO yang ada diluar kampus.

Sebenarnya saya ingin menarik perhatian semua pihak berkaitan keadaan untuk merealisasikan program mahasiswa sebagai satu alternatif saluran pengiklanan atau publisiti syarikat-syarikat korporat atau sebagainya. Syarikat-syarikat korporat boleh menggunakan program-program mahasiswa sebagai medium untuk mempromosikan produk-produk mereka kerana disitu akan dapat mewujudkan aliran keuntungan dan faedah yang dapat diagihkan kepada pelbagai pihak. Apa yang dimaksudkan disini ialah menjadi penaja kepada program mahasiswa dan kemudiannya menggunakan sub aktiviti di dalam program tersebut untuk dijadikan latar belakang iklan produk syarikat berkenaan didalam media elektronik ataupun media cetak. Dalam hal ini, saya ingin mengambil contoh apa yang telah dilakukan oleh sebuah jenama pencuci pakaian yang telah mengambil program PLKN sebagai latar belakang dalam mempromosikan produknya. Syarikat korporat akan dapat mempromosikan produk-produknya, mahasiswa dapat melaksanakan program-programnya disamping menambah pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan program tersebut, manakala masyarakat akan mendapat faedah daripada program-program yang dianjurkan oleh mahasiswa terutamanya program-program berbentuk kebajikan atau bakti siswa. Ini sekaligus dapat membantu menggalakkan program-program kebajikan dikalangan persatuan mahasiswa.

Peranan kerajaan sangat penting dalam menggalakkan syarikat-syarikat korporat terlibat dalam program-program mahasiswa sebagai penaja. Dengan sokongan, bantuan dan kepercayaan syarikat-syarikat korporat terhadap program mahasiswa akan lebih menggalakkan lagi penglibatan mahasiswa untuk mengadakan program yang lebih bersifat kebaktian kepada masyarakat. Selain itu, jika kita lihat pada hari ini, unsur-unsur pengiklanan di negara ini lebih menjurus kepada penglibatan artis sebagai ikon utama. Oleh itu, adalah wajar jika memperimbangkan keadaan ini dengan menggunakan program mahasiswa sebagai medium pengiklanan oleh pihak-pihak yang berkenaan supaya secara tidak langsung ia dapat meningkatkan minat masyarakat terutamanya golongan remaja menaruh harapan untuk bergelar mahasiswa daripada bergelar artis. Selain daripada itu, ia juga dapat mengembalikan minat dan semangat mahasiswa untuk berpersatuan disebabkan publisiti yang positif ini. Hal ini sekurang-kurangnya dapat mewujudkan gaya hidup yang lebih beretika dan membantu membendung masalah sosial dikalangan mahasiswa yang sering dipersoalkan oleh masyarakat kerana tumpuan kehidupan mahasiswa di kampus akan lebih terarah kepada kegiatan yang bersifat ilmiah dan kebajikan.


MOHAMAD AZIZUDDIN MD DAUD
Mantan Presiden Permadah
Sesi 2006/2007
http://pemudaview.blogspot.com