Pages

Tuesday, January 13, 2009

UCAPAN TIMBALAN PRESIDEN PERMADAH sempena Tahun Baru

Salam ukhuwah dan salam kasih sayang.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan izin-Nya, sekali lagi kita diberi peluang untuk memasuki tahun baru hijriah, 1 Muharam 1430 H. Moga tahun 1429 H telah memberi kita 1001 kenangan dan kejayaan yang telah dicapai sebagai seorang mahasiswa. Kedatangan tahun baru Hijrah bersama permulaan semester baru bagi semester kedua sesi 2008/2009. bagi sahabat-sahabat yang telah mencapai kecemerlangan pada semester lalu, tahniah diucapkan. Akan tetapi, bagi sahabat-sahabat yang kurang berjaya mencapai target yang telah ditetapkan, jangan putus asa, teruskan berusaha!

Bersempena dengan kehadiran tahun baru ini. Saya mengharapkan akan ada semangat baru dalam diri adik-beradik PERMADAH sekalian. Baik dari sudut kehidupan seharian dan juga bidang akademik. Kehadiran tahun baru ini juga diharapkan dapat meniupkan semangat serta membina azam baru dalam usaha merubah diri untuk menjadi lebih baik.
Kedatangan tahun baru Hijriah seiring dengan kedatangan tahun baru Masihi diharapkan dapat dilalui dengan sebaiknya oleh adik-beradik PERMADAH sekalian.

Harapan kepada semua adik beradik PERMADAH yang disayangi moga dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi tahun baru yang berkemungkinan akan lebih mencabar. Tekadkan semangat, kuatkan azam untuk mencapai apa saja impian yang adik beradik semua rangkakan. Paling penting, fokuskan kepada pencapaian akademik yang lebih baik. Moga kehadiran semester baru ini akan menguatkan lagi azam untuk mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang. Seiringkan usaha dengan doa serta keyakinan yang tinggi kepada Allah. Moga Allah akan memudahkan segala urusan kita.

Buat akhirnya, saya juga mengharapkan penglibatan aktif semua adik beradik sekalian dalam program-program yang akan dianjurkan oleh PERMADAH. Semester ini merupakan sesi terakhir untuk sesi 2008/2009, jadi diharapkan kita semua dapat bersama dalam PERMADAH hingga akhir semester ini. Buat adik beradik yang berada disemester akhir, diharapkan dapat mengekalkan keputusan yang cemerlang dan dapat menghabiskan pengajian dalam waktu yang ditetapkan.

Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang memimpin PERMADAH sepanjang sesi ini. Terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang sesi kepimpinan ini.
Selamat maju jaya! Semoga beroleh kejayaan dalam apa jua perkara yang dilakukan.

"Memimpin Bersama Permadah"

Khairul Mardziyah Md Hussin
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Kedah
Universiti Malaya.

Wednesday, January 07, 2009

KEDAH TERUS DIRUNDUNG MALANG-Berita Harian


KEDAH terus dirundung malang apabila tewas kali kedua berturut-turut selepas kecundang 3-0 kepada Negeri Sembilan tatkala Selangor makin menunjukkan taring mencipta kemenangan kedua dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Negeri Sembilan yang beraksi di halaman sendiri mendahului menerusi tandukan Shukor Adan yang menyudahkan hantaran menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya pada minit ke-33.

>Mohd Zaquan Adha Radzak kemudian merobek gawang dikawal Helmi Eliza Elias enam minit selepas itu apabila melepasi kekangan pertahanan A Victor dan merembat kencang ke gawang.

Percaturan jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang tetap menurunkan Helmi sekali lagi jelas mengundang masalah apabila K Thanaraj mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-59.

Selangor yang ketinggalan 0-1 pada minit ke-30 hasil jaringan Razali Umar Kandasamy tidak berputus asa apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Safee Sali tidak sampai seminit selepas itu.

Babak kedua menyaksikan anak buah K Devan kembali di depan apabila Amirulhadi Zainal berjaya merobek gawang pelawat pada minit ke-68.

Jentera serangan Selangor terus gagal disekat pelawat apabila Mohd Nasriq Baharom melengkapkan kejayaan pasukannya menerusi jaringan ketiga empat minit sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Utama Negeri, Perlis turut ceria mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila Nizaruddin Yusof menjaringkan hatrik membantu pasukannya menewaskan Pahang 3-2 manakala KL Plus merakamkan kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan Terengganu 2-1 di gelanggang sendiri.

Kelantan yang berbelanja besar, musim ini berjaya mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan UPB MyTeam 4-2 di Stadium MPPJ.

Perlawanan lain menyaksikan Kuala Muda Naza menang tipis 1-0 mengatasi Polis di Stadium Darulaman manakala Johor FC seri 2-2 bertemu Pulau Pinang di Stadium JCorp Pasir Gudang.