Pages

Wednesday, January 07, 2009

KEDAH TERUS DIRUNDUNG MALANG-Berita Harian


KEDAH terus dirundung malang apabila tewas kali kedua berturut-turut selepas kecundang 3-0 kepada Negeri Sembilan tatkala Selangor makin menunjukkan taring mencipta kemenangan kedua dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Negeri Sembilan yang beraksi di halaman sendiri mendahului menerusi tandukan Shukor Adan yang menyudahkan hantaran menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya pada minit ke-33.

>Mohd Zaquan Adha Radzak kemudian merobek gawang dikawal Helmi Eliza Elias enam minit selepas itu apabila melepasi kekangan pertahanan A Victor dan merembat kencang ke gawang.

Percaturan jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang tetap menurunkan Helmi sekali lagi jelas mengundang masalah apabila K Thanaraj mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-59.

Selangor yang ketinggalan 0-1 pada minit ke-30 hasil jaringan Razali Umar Kandasamy tidak berputus asa apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Safee Sali tidak sampai seminit selepas itu.

Babak kedua menyaksikan anak buah K Devan kembali di depan apabila Amirulhadi Zainal berjaya merobek gawang pelawat pada minit ke-68.

Jentera serangan Selangor terus gagal disekat pelawat apabila Mohd Nasriq Baharom melengkapkan kejayaan pasukannya menerusi jaringan ketiga empat minit sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Utama Negeri, Perlis turut ceria mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila Nizaruddin Yusof menjaringkan hatrik membantu pasukannya menewaskan Pahang 3-2 manakala KL Plus merakamkan kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan Terengganu 2-1 di gelanggang sendiri.

Kelantan yang berbelanja besar, musim ini berjaya mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan UPB MyTeam 4-2 di Stadium MPPJ.

Perlawanan lain menyaksikan Kuala Muda Naza menang tipis 1-0 mengatasi Polis di Stadium Darulaman manakala Johor FC seri 2-2 bertemu Pulau Pinang di Stadium JCorp Pasir Gudang.

0 KOMEN: