Pages

Friday, February 27, 2009

fitrah manusia utk disayangi dan menyayangi

Fitrah manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dicintai dan menyintai, ingin dikasihi dan mengasihi, ingin dirindui dan merindui. Dari yang si kecil sehinggalah dewasa. Semua menginginkannya. Hatta Nabi Adam a.s sendiri menginginkannya. Walau pun diberi kebijaksanaan mengenal seluruh isi bumi, dianugerahkan segala-galanya namun Nabi Adam a.s tetap terasa sepi dan sunyi.

Maka lahirlah Hawa untuknya. Begitulah juga kita, menginginkan untuk memiliki seseorang yang disayangi dan pada masa yang sama turut dicintai.

Inginkan seseorang yang memiliki ciri-ciri yang sempurna juga fitrah manusia. Menginginkan yang cantik, lawa, menarik dan mempesonakan pandangan mata. Pendek kata yang memiliki keindahan, kekayaan, kebijaksanaan, kejayaan. Semuanya menjadi pilihan. Dengan pelbagai usaha digunakan untuk mendapatkannya, hinggalah ada yang sanggup bertumpahan darah seperti Qabil dan Habil, bergadai nyawa seperti Laila dan Majnun, sehidup semati ibarat Romeo dan Juliet.

Kerana ingin memiliki kasih sayang dan kononnya demi cinta suci. Akhirnya terkubur jasad ke tanah tanpa pengakhiran yang membahagiakan. Beginikah dikatakan ingin memiliki dan dimiliki. Apa yang pasti janji cuma tinggal janji..

Agama tidak melarang seseorang menginginkan teman dalam hidupnya. Namun apakah yang kita inginkan adalah yang kita perlukan? Adakah pasti yang diingini akan kita miliki? Seseorang yang kita inginkan belum tentu yang kita perlukan, dan seseorang yang kita perlukan juga belum tentu yang kita inginkan. Jadi, mana yang akan dipilih, yang diinginkan ataukah yang diperlukan? Ikut hati tentulah yang diingini tapi tanya akal pula pastilah yang diperlukan. Alamak, akal dan hati sentiasa berperang dan bermusuhan.

Lantaran itulah Allah s.w.t turunkan Al-Quran sebagai panduan dan sunnah Rasullullah s.a.w sebagai ikutan. Kandungannya banyak memberi petunjuk jalan agar usaha dan keputusan yang kita lalui sentiasa lurus, diredhai dan penuh keberkatan.

Malangnya, ramai antara kita belajar dari artis-artis Hollywood, Bollywood dan entah apa entah wood lagi. Novel-novel, majalah-majalah cinta pula sebagai rujukan utama. Maka, lahirlah ‘sektor perkapalan’ haram yang mengemudi bahtera bersama kelasinya. Ke hulu ke hilir membelah lautan biru menuju ke destinasi bahagia, kononnya. Tapi, yakinkah kita itulah kebahagiaan, itukah yang kita inginkan dan adakah itu yang kita perlukan? Tatkala, ada di antara kita yang tidak menginginkan seseorang itu sebagai teman hidupnya namun ditakdirkan menjadi miliknya. Umpama Nabi Yusuf a.s menolak cinta Siti Zulaikha akhirnya menjadi isteri yang paling disayangi dan dikasihi. Bukan didesak oleh keinginan hati tapi kerana memerlukan insan seperti Siti Zulaikha, menjadi isteri kerana Allah.

Kini, kenyataan telah terukir. Sesuatu yang kita perlukan itulah yang kita inginkan. Maka agama itulah yang kita perlukan bukan selain darinya. Sebagaimana yang tercoret dalam hadis Rasulullah s.a.w pilihlah seseorang itu kerana kecantikannya, hartanya, keturunan dan agamanya. Maka, pilihlah agamanya insya Allah kita akan temui kebahagiaan yang sebenar, wallahua’lam..

Friday, February 20, 2009

Pendayung Sampan


Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Profesor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian. Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.
Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati,
"Hmm. Hari nak hujan".
"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu.
Pendayung sampan itu akur dan mula musingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.
"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu.
"Hampir semur hidup saya."
Jawab pendayung sampan itu dgn ringkas.
"Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi.
"Ya".
"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu.
Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.
Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi,
"Kamu tahu geografi?"
Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.
"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu.
"Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?"
Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.
"Kasihan.Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu.
Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya.
Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala.

"Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh.
Pendayung sampan itu hanya berdiam diri. Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Profesor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?"Professor itu menggelengkan kepala."Kalau macam ini, kamu dah kehilang 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Moral of the Story:
Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh
menjamin kehidupan.
Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak
tahu perkara-perkara penting dalam hidup. Adakalanya
orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya
dari kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak
adakena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER"
dalam bidang yang diceburi.

Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri
sendiri,untuk apakah ilmu yg dikumpulkan jika bukan
utk digunakan dan boleh digunakan?

Hikmat Inspirasi:
Kepuasan itu terletak pada usaha bukannya pada
pencapaian. Usaha sempurna adalah kemenangan
sempurna...

-Mahatma Gandhi-

p/s:- Belajarlah dari pengalam dan pengetahuan orang lain kerana kita pasti tidak akan cukup umur untuk belajar semua yang ada didunia ini.. sesungguhnya ilmu itu lebih luas dari lautan ini..

Sunday, February 15, 2009

malu..ohh..malu..

Aduhai, setiap wanita dikurniakan oleh
ALLAH swt sifat MALU
Kerana MALU si wanita tahu menjaga
kehormatannya
Kerana MALU si wanita tahu menilai
batas- batas sosialnya
Kerana MALU juga si wanita gagal
diperdaya pujukan nafsu

Kini si wanita itu sudah hilang MALUnya
Kerana hilang MALU itu terdedahlah
auratnya lantas kehormatan diri tergadai
Kerana hilangnya MALU itu si wanita
gagal menilai apa itu HARAM apa itu
HALAL
Kerana kehilangan MALU itu si wanita
lemas dan hanyut dengan tipu daya
nafsu.

Aduhai, setiap lelaki juga dikurnakan
oleh ALLAH swt sifat MALU
Kerana MALU, si lelaki nasihat diri dan si
wanita agar bersama-sama jaga maruah
diri dan MENJAGA AURAT
Kerana MALU, si lelaki mengingatkan diri
dan si wanita tentang batas-batas sosial
pergaulan, HALAL dan HARAM tu kena
INGAT!
Kerana MALU itu, si lelaki menjaga dan
mendidik nafsunya. JANGAN mengajak si
wanita berbuat DOSA. Selalu
mengingatkan dengan
kata "TAKUTLAH AKAN ALLAH !"

Kini, si lelaki itu sudah hilang MALUnya
Kerana hilang MALU itu si lelaki
MENGAJAK si wanita BERBUAT
MUNGKAR
Kerana hilangnya MALU itu si lelaki lupa
tentang HUKUM ALLAH swt
Kerana telah hilangnya MALU itu si
lelaki mungkin hilang taraf KHALIFAH!

Sabda Rasullullah saw,
SESUNGGUHNYA MALU ITU ADALAH
SEBAHAGIAN DARI IMAN.
Wahai si wanita dan si lelaki janganlah
menzalimi diri dengan meletakkan MALU
itu bukan ditempatnya.

MALUlah kamu dengan ALLAH swt
kerana ingkar akan suruhannya
MALUlah kamu dengan RASULLULLAH
saw kerana meninggalkan sunahnya
MALUlah kamu kerana lupa dan malas
membaca AL-QURAN
MALUlah kamu kerana tidak
menghormati GURU
MALUlah kamu kerana melawan kata
IBUBAPA.
MALUlah kamu atas DOSA -DOSA kamu

Maka percayalah bahawa MALU itu akan
menyelamatkan kita dari fahsyar
walmungkar!!!

Saturday, February 14, 2009

Pilihan raya kecil serentak 7 April-berita harian

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah ialah pada 29 Mac ini, manakala pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata mesyuarat khas suruhanjaya itu semalam memutuskan untuk mengadakan dua pilihan raya kecil itu serentak bagi memudahkan kawalan keselamatan selain mengelakkan tempoh berkempen terlalu lama.

"Jika tempoh berkempen panjang, macam-macam isu dikeluarkan hingga boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan. Kita juga perlu memikirkan beban petugas pilihan raya yang akan bekerja sepanjang kempen nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini.
Keputusan SPR itu sekali gus menyaksikan tempoh kekosongan wakil rakyat paling lama bagi kedua-dua kawasan berkenaan. Kali terakhir pilihan raya kecil pernah diadakan serentak di negara ini ialah bagi kerusi Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit pada 18 Julai 2002.

Pilihan raya kecil kali ini akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Pertama 2008, Suku Kedua 2008 dan Suku Ketiga 2008, selaras peruntukan 25(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Abdul Aziz berkata, kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar dengan 55,426 daripadanya pemilih biasa dan 136 pemilih pos. Kawasan DUN Bukit Selambau pula mempunyai 35,140 pemilih termasuk 15 pengundi pos.

Kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 32 pusat pengundi dengan 111 saluran membabitkan 29 sekolah dan tiga dewan, manakala DUN Bukit Selambau ada 22 pusat pengundi dengan 64 saluran, 21 sekolah dan satu institut.

SPR memutuskan lokasi penamaan calon dan pusat mengira undi bagi Parlimen Bukit Gantang ialah di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Taiping (MPT), manakala bagi DUN Bukit Selambau, di dewan Sekolah Menengah Teknik Satu, Sungai Petani.

Pada sidang akhbar yang sama, Abdul Aziz turut menyerahkan surat pelantikan kepada Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama, Datuk Mahmood Morsidi sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bukit Gantang.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Mat Akhir pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau.

Beliau berkata, kos pengurusan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ialah RM600,000 manakala RM400,000 bagi DUN Bukit Selambau.

Menjawab pertanyaan sama ada tarikh pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu diadakan serentak supaya tidak menjejaskan Perhimpunan Agung Umno yang dijadual Mac depan, Abdul Aziz berkata: "tidak... tidak sama sekali".

Ditanya sama polis akan menempatkan anggota lebih ramai bagi mengawal pilihan raya itu khususnya berikutan ketegangan di Perak, Abdul Aziz berkata, SPR menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengendalikan aspek keselamatan.

SPR turut bersetuju menubuhkan tiga pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPP) yang akan memantau segala aktiviti kempen dan pemasangan bahan kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 29 Mac sehingga selesai hari pengundian pada 7 April.

Suruhanjaya itu juga memberi kebenaran kepada Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) sebagai pemerhati perjalanan pilihan raya kecil terbabit dan meminta mereka berhubung dengan urus setia SPR bagi urusan pelantikan dan syarat yang ditetapkan.