Pages

Saturday, February 14, 2009

Pilihan raya kecil serentak 7 April-berita harian

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah ialah pada 29 Mac ini, manakala pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata mesyuarat khas suruhanjaya itu semalam memutuskan untuk mengadakan dua pilihan raya kecil itu serentak bagi memudahkan kawalan keselamatan selain mengelakkan tempoh berkempen terlalu lama.

"Jika tempoh berkempen panjang, macam-macam isu dikeluarkan hingga boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan. Kita juga perlu memikirkan beban petugas pilihan raya yang akan bekerja sepanjang kempen nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini.
Keputusan SPR itu sekali gus menyaksikan tempoh kekosongan wakil rakyat paling lama bagi kedua-dua kawasan berkenaan. Kali terakhir pilihan raya kecil pernah diadakan serentak di negara ini ialah bagi kerusi Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit pada 18 Julai 2002.

Pilihan raya kecil kali ini akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Pertama 2008, Suku Kedua 2008 dan Suku Ketiga 2008, selaras peruntukan 25(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Abdul Aziz berkata, kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar dengan 55,426 daripadanya pemilih biasa dan 136 pemilih pos. Kawasan DUN Bukit Selambau pula mempunyai 35,140 pemilih termasuk 15 pengundi pos.

Kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 32 pusat pengundi dengan 111 saluran membabitkan 29 sekolah dan tiga dewan, manakala DUN Bukit Selambau ada 22 pusat pengundi dengan 64 saluran, 21 sekolah dan satu institut.

SPR memutuskan lokasi penamaan calon dan pusat mengira undi bagi Parlimen Bukit Gantang ialah di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Taiping (MPT), manakala bagi DUN Bukit Selambau, di dewan Sekolah Menengah Teknik Satu, Sungai Petani.

Pada sidang akhbar yang sama, Abdul Aziz turut menyerahkan surat pelantikan kepada Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama, Datuk Mahmood Morsidi sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bukit Gantang.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Mat Akhir pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau.

Beliau berkata, kos pengurusan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ialah RM600,000 manakala RM400,000 bagi DUN Bukit Selambau.

Menjawab pertanyaan sama ada tarikh pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu diadakan serentak supaya tidak menjejaskan Perhimpunan Agung Umno yang dijadual Mac depan, Abdul Aziz berkata: "tidak... tidak sama sekali".

Ditanya sama polis akan menempatkan anggota lebih ramai bagi mengawal pilihan raya itu khususnya berikutan ketegangan di Perak, Abdul Aziz berkata, SPR menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengendalikan aspek keselamatan.

SPR turut bersetuju menubuhkan tiga pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPP) yang akan memantau segala aktiviti kempen dan pemasangan bahan kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 29 Mac sehingga selesai hari pengundian pada 7 April.

Suruhanjaya itu juga memberi kebenaran kepada Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) sebagai pemerhati perjalanan pilihan raya kecil terbabit dan meminta mereka berhubung dengan urus setia SPR bagi urusan pelantikan dan syarat yang ditetapkan.

0 KOMEN: