Pages

Wednesday, December 24, 2008

Kedah catat 42 kes baru Chikungunya

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kedah mencatatkan sebanyak 42 kes baru Chikungunya sehingga semalam, kata Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman.

Beliau berkata, sebanyak 36 kes dikesan melalui pesakit yang datang mendapatkan rawatan di klinik, manakala enam kes lagi menerusi siasatan yang dilakukan oleh pegawai kesihatan.
Katanya, selain Kedah, negeri lain yang dilaporkan mempunyai kes terbaru adalah Kelantan mencatatkan satu kes, Selangor (2), Perak (3), menjadikan jumlah kes terbaru sebanyak 50 kes.

"Tiada kes baru dicatatkan untuk negeri-negeri lain pada masa ini, " katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 4,034 kes Chikungunya dilaporkan di seluruh negara dari April hingga bulan ini.

Johor mencatatkan sebanyak 1,809 kes, Selangor (306), Perak (556), Melaka (606), Pahang (318), Negeri Sembilan (173), Kelantan (118), Kedah (112), Kuala Lumpur (10), Putrajaya (10), Pulau Pinang (empat), Terengganu (empat), Sarawak (tiga) Perlis (tiga), manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan tiada kes dicatatkan.

Sementara itu di ALOR STAR, demam Chikungunya yang menyerang penduduk negeri ini sejak lebih seminggu lalu belum menunjukkan tanda ia akan reda apabila 14 lagi kes baru dilaporkan semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Shahidan Hashim berkata, kes-kes baru yang dilaporkan melibatkan daerah Pendang (enam), Kuala Muda (lima), Baling (dua) dan satu kes di Kota Setar.

Menurutnya, di daerah Pendang, kampung yang terlibat dengan kes baru ialah Kampung Watt Padang Peliang iaitu sebanyak dua kes dan masing-masing satu kes di Kampung Bukit Perak; Kampung Paya Mengkuang; Kampung Sawa Besar serta Kampung Pulai.

0 KOMEN: