Pages

Saturday, April 16, 2011

SALAM PERKENALAN YDP PERMADAH SESI 2011/2012

Assalamualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam sayang buat semua ahli Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya (PERMADAH UM) sama ada anak jati Negeri Kedah mahupun ahli yang luar daripada Kedah. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang memberi sokongan penuh dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi PERMADAH sesi 2011/12 yang telah melabuhkan tirainya pada 8 April 2011. Alhamdulillah, syukur kita kepada Pencipta Yang Maha Esa yang telah mengaturkan aturan yang sangat baik dan memudahkan segala urusan untuk kebaikan bersama.

“Datang tidak diundang pergi tidak dicari tiba-tiba jatuh di atas riba”, jawatan yang disandang bukanlah bermaksud satu kemegahan untuk dijaja dan dibanggakan tetapi jawatan ini menandakan satu amanah yang telah diberi kepercayaan dan dipertanggungjawabkan ke atas diri ini untuk mengepalai tampuk pimpinan PERMADAH pada sesi akan datang. InsyaAllah kami di pihak pimpinan pada sesi kali ini akan cuba sedaya upaya kami untuk meneruskan kegemilangan PERMADAH di peringkat universiti khususnya dan di peringkat Negeri Kedah amnya.

Segala harapan yang diutarakan oleh adik-beradik PERMADAH dalam Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini akan disebatikan dalam agenda pimpinan kami untuk sesi akan datang berlandaskan pembawakan baru yang akan diputuskan oleh seluruh barisan pimpinan PERMADAH sesi 2011/12. Saya mewakili seluruh barisan pimpinan dengan rasa penuh kasih sayang dan persaudaraan sesama kita akan cuba sedaya upaya untuk membentuk identiti PERMADAH secara keseluruhannya bagi menjadikan PERMADAH sebagai satu medium perantaraan untuk membentuk mahasiswa /mahasiswi yang proaktif seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti dalam kalangan ahli.

Namun, secara realitinya semua harapan ini hanya akan tinggal impian sekiranya semua adik- beradik PERMADAH tidak turut serta bersama-sama kami untuk merealisasikan impian ini. Besar harapan saya agar semua ahli yang saya anggap sebagai adik-beradik ini akan terus bersama-sama dalam perjuangan ini untuk menjamin kesinambungan kegemilangan yang telah digenggam selama ini. Saya juga mengalu-alukan penyertaan lebih ramai siswa/siswi Universiti Malaya yang berminat dengan PERMADAH tanpa mengira latar belakang negeri kelahiran untuk turut serta bersama-sama kami.

Akhir tinta, semoga coretan ini mampu menjadi anjakan paradigma kepada semua adik-beradik PERMADAH dan pembakar semangat untuk sama-sama memajukan diri dalam segala aspek kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

“We plan our work, we work our plan”


Mohammad Khairul Aliff b. Abdullah

Yang Dipertua

Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH)

Sesi 2011/2012

0 KOMEN: