Pages

Saturday, November 14, 2009

KERANA SATU KLIK BERTAMBAH SAHAM KITA



Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular. Pernahkah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat.



Apa yang saya akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadith Sahih berikut. :

Mahfumnya:: Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. :

“Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.”

(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)


Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.


Mahfumnya: Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) 2 pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun."

(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)


Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah berikut.


Fuad dan Yahoogroup


Fuad baru tamat belajar di sebuah Universiti. Kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja seharian.


Fuad mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap hari. Masa lapang Fuad diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email.


Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di dalam “emailgroup” tersebut. Sekali menghantar email, dia akan menghantar kepada “emailgroup” tersebut.


Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang diterima daripada rakan yang lain ke “emailgroup”. Di antara kandungan email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam.


Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Fuad terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali kerahmatullah di tempat kejadian.


Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.


Berganda-ganda

Untuk memudahkan kefahaman, katakan Fuad telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Fuad maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Fuad jadilah sekarang dosa Fuad 1+50 = 51.


Setiap kawan-kawan Fuad itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi, maka sekarang dosa Fuad akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Fuad menjadi 1+50+500=5551. Begitulah seterusnya.


Fuad telah meninggal dunia, email nya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang cyber hingga ke hari kiamat.


Katakan sebelum meninggal dunia, Fuad telah sempat bertaubat, insya’Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan. Tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Fuad telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak mintak ampun dengan semua yang menerima email tersebut? Selagi mereka semua tidak mengampunkan Fuad maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak.

Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita.


MOHD NOOR FAZRIN MUSTAFFA

EXCO KEPIMPINAN DAN PEMBANGUNAN INSAN

PERMADAH

0 KOMEN: