KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Pengajian Tinggi disaran agar Persatuan Anak-Anak Negeri (PAN) diwujudkan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai wadah menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat khususnya di tempat kelahiran mereka. Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Pergerakan Pemuda UMNO, Syahrin Md. Jamaludin berkata, penubuhan PAN penting kerana ia merupakan mekanisme yang berkesan untuk tujuan berkenaan. Jelasnya, peranan positif PAN telah terbukti di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) apabila persatuan itu berjaya menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat di negeri kelahiran masing-masing. Menurutnya, hubungan itu terjalin melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh persatuan seperti projek bakti siswa, lawatan sambil belajar, bantuan kebajikan dan sesi dialog dengan pemimpin negeri.
"Kami yakin PAN mampu menjadi wadah yang berkesan untuk mahasiswa memberikan sumbangan kepada masyarakat di tempat kelahiran masing-masing. "Walaupun sebelum ini terdapat pihak mengatakan bahawa kewujudan PAN akan menimbulkan masalah seperti pergaduhan dan persaingan tidak sihat di kalangan mahasiswa yang berlainan negeri, tetapi kami berpendapat sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Syahrin, buat masa ini terdapat 20 IPTA di seluruh negara namun hanya UM, UKM dan USM yang membenarkan penubuhan PAN. Beliau berkata, jumlah tersebut diharap dapat ditambah pada masa depan sebagai satu usaha untuk menjayakan gagasan 1Malaysia.
Utusan Malaysia 12 Ogos 2009
Menurut Syahrin, buat masa ini terdapat 20 IPTA di seluruh negara namun hanya UM, UKM dan USM yang membenarkan penubuhan PAN. Beliau berkata, jumlah tersebut diharap dapat ditambah pada masa depan sebagai satu usaha untuk menjayakan gagasan 1Malaysia.
Utusan Malaysia 12 Ogos 2009
0 KOMEN:
Post a Comment