Pages

Tuesday, July 31, 2007

PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA MINGGU PROMOSI PERSATUAN (PROMO 07/08)

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, pembawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia. Selawat dan salam juga kepada para tabi’in, aulia dan anbia’ yang bersama-sama menegakkan kesucian agama Islam yang akan terus menyinari bumi dan seluruh isi alam ini.

Pertama sekali, saya ingin mengambil peluang di sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mahasiswa dan Mahasiswi baru yang telah berjaya menempatkan diri di Universiti Perdana ini. Manfaatkanlah peluang yang ada ini dengan sebaiknya untuk mengaut sebanyak mungkin mutiara ilmu dan pengalaman yang ada universiti ini.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana PERMADAH kini telah berusia 31 tahun perjuangannya meletakkan anak-anak kedah dibawah satu payung perpaduan dan muhibah dengan meletakkan prinsip kekeluargaan sesama ahli sebagai asas kebersamaan dan kesatuan. Setelah 31 tahun mengharungi liku-liku perjuangan di Universiti Malaya ini, pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi dengan tabah dan tenang untuk meletakkan anak-anak Kedah di landasan yang tepat dan betul.

Menghadapi realiti hari ini, suasana dan tuntutan organisasi telah banyak mengalami perubahan dan pergerakan yang mana kita tidak boleh ketinggalan atau mengecualikan daripada mengikuti pergerakan tersebut. Kegagalan kita berbuat demikian akan mengakibatkan kita tiada nilai atau semakin dipinggirkan arus semasa. Dunia hari ini merupakan dunia ilmu dan maklumat. Dalam menghadapi keadaan ini, PERMADAH bersiap sedia menjadi wadah atau pusat berorganisasi yang mempunyai kemampuan dan kekuatan membekalkan ahli-ahlinya dengan ilmu dan pengalaman berorganisasi. Kita mahu mengeluarkan ramai-ramai ahli-ahli PERMADAH yang berkemahiran dalam organisasi. Kita mahu ahli-ahli yang dikeluarkan oleh PERMADAH benar-benar memahami selok belok dalam organiasi. Ini dapat dilakukan dengan mendedahkan mereka dengan pelbagai program di dalam PERMADAH.

Di dalam usaha kita untuk memacu perubahan, pada sesi ini kita telah memperkenalkan satu visi untuk menjadikan PERMADAH bukan sekadar persatuan tetapi sebagai salah satu gerakan mahasiswa yang memainkan peranan yang aktif membela kebajikan mahasiswa dan rakyat. Kita menjadikan sesi ini sebagai titik mula dan pencetus ke arah kejayaan visi tersebut. Visi tersebut ialah untuk ‘Melonjakkan PERMADAH sebagai sebuah gerakan perjuangan mahasiswa yang mengimbangi dan mengharmonikan elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan’. Apa yang kita hendaklah laksanakan ini tidak mungkin akan dapat kita capai dalam masa yang singkat. Kita meletakkan jangkamasa untuk kita mula mencapai hasil yang diharapkan. Oleh itu kita berusaha mempersiapkan ahli-ahli PERMADAH ke arah itu melalui pelbagai aktiviti yang akan kita laksanakan sepanjang sesi ini.

Ingin saya tegaskan disini, gerakan dan perjuangan yang dimaksudkan ini sebenarnya adalah untuk menjadikan kita sebagai mahasiswa yang berperanan dan bertanggungjawab terhadap kebajikan dari sudut sosial dan kemasyarakatan. Kita tidak mahu jadi mahasiswa yang pentingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang menimpa masyarakat disekelilingnya. Kita mahu mahasiswa kembali aktif sebagai pejuang sosial sebagaimana tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu. Kita sebenarnya sedang mengalami kelesuan dari sudut semangat dan penyertaan aktif ke dalam persatuan mahasiswa. Mahasiswa semakin kurang berminat untuk berpersatuan, ini boleh dilihat daripada kehadiran yang hadir sewaktu program. Atas sebab itu kita perlu mengubah lanskap didalam taman PERMADAH ini supaya mahasiswa kembali aktif didalam persatuan khasnya PERMADAH.

Sebagai salah satu persatuan yang memainkan peranan penting di Universiti Malaya ini, kita perlu terus bergerak gagah kehadapan dengan menonjolkan imej dan teladan yang baik. Kita meyakini PERMADAH mampu menjadi sebuah gerakan mahasiswa jika mendapat sambutan dan sokongan yang padu dari kalangan ahli. Gerakan yang ingin dibentuk ini perlu melangkaui sempadan universiti dan mahasiswa. PERMADAH perlu menjadi golongan yang prihatin terhadap nasib rakyat yang terpinggir terutamanya di Kedah yang mana kita semua menyedari masih wujud lagi kemiskinan di Kedah. Hal-hal inilah yang kita boleh perjuangkan disamping dapat membantu kerajaan lebih peka terhadap kebajikan rakyat yang kadang-kadang mereka terlepas pandang. Kita juga mahu menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan Kedah.

Akhirnya, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian untuk bersama-sama dengan PERMADAH di dalam kita merencanakan dan melaksanakan agenda-agenda persatuan yang dapat melonjakkan PERMADAH sebagai sebuah gerakan perjuangan mahasiswa yang mengimbangi dan mengharmonikan elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan. Di sini juga, saya mewakili barisan kepimpinan PERMADAH di segenap peringkat mengucapkan selamat menghadapi semester ini dengan penuh iltizam dan didoakan semoga berjaya dengan cemerlang.

“Teguh Bersatu, Memimpin Perjuangan”

Sekian, wassalam.

ZULKIFLI BIN YAAKOB
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA KEDAH (PERMADAH)
UNIVERSITI MALAYA.
SESI 2007/2008

0 KOMEN: