Pages

Tuesday, July 31, 2007

KORIDOR UTARA MEMBUKA LALUAN MASA DEPAN

KERAJAAN sentiasa komited dalam mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk di negara ini dengan memastikan program pembangunan diagihkan secara menyeluruh.

Kawasan pedalaman yang ekonominya masih ketinggalan dengan sebahagian besar penduduk masih dibelenggu kemiskinan sentiasa mendapat perhatian.

Melalui kajian dan perancangan, potensi bagi setiap kawasan terbabit dikenalpasti supaya setiap perancangan dan pelaksanaan projek menepati keperluan.

Bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, objektifnya jelas, iaitu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan tahap pendapatan di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Sebanyak 21 daerah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak terlibat dalam Koridor Utara yang mana ia merupakan komitmen kerajaan persekutuan membantu wilayah ini untuk memaksimumkan potensi ekonominya.

Inisiatif Koridor Utara dari 2007 hingga 2025 juga bermatlamat untuk bergerak ke arah aktiviti ekonomi yang lebih tinggi nilai tambahnya dan berasaskan pengetahuan bagi meningkatkan pendapatan perkapita.

Dengan tema ‘Meningkatkan Nilai Tambah Kepada Industri Sedia Ada’ pembangunan di Koridor Utara memberi penekanan kepada transformasi dan pengembangan sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik.

Jika dilihat kepada kedudukan Koridor Utara yang merupakan jelapang padi, sepatutnya ia lebih makmur dari wilayah lain kerana merupakan pembekal sumber makanan negara.

Oleh itu, potensinya akan ditingkatkan melalui penggunaan teknologi moden serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain sektor elektrik dan elektronik (E&E)akan terus ditingkatkan.

Aset pelancongan seperti Pulau Pinang dan Pulau Langkawi pula akan dimanfaat sepenuhnya bagi memastikan saiz industri itu terus berkembang.

Tetapi yang paling penting dalam inisiatif Koridor Utara bukan sahaja terhadap pertumbuhan ekonomi semata-mata.


PEMBANGUNAN SEIMBANG

Yang paling utama ialah memastikan pembangunan yang seimbang agar faedahnya dinimati setiap penduduk.

Sebab itu usaha membasmi kemiskinan terutama kemiskinan tegar merupakan antara agenda utama Koridor Utara dengan setiap pembangunan ekonomi yang dirangka akan membabitkan penyertaan penduduk.

Ini termasuk penduduk luar bandar yang miskin, ibu tunggal dan golongan berpendidikan rendah.

Pada masa ini kawasan terbabit mempunyai 57,700 keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan dan 11,900 lagi kemiskinan tegar.

Pada masa yang sama purata pendapatan bulanan penduduk di kawasan ini yang sebanyak RM2,477 juga perlu ditingkatkan.

Tahap pendidikan yang rendah terutama di daerah-daerah terpencil dan kelemahan kanak-kanak di sekolah akan diberi tumpuan.

Melalui pelaksanaan Koridor Utara potensi setiap sektor dan setiap individu di dalamnya akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Dengan itu, ia akan membuka laluan baru untuk masa depan kira-kira 4.6 juta penduduknya yang sebahagian besarnya adalah petani dan tinggal di kawasan luar bandar.

Sebab itu bagi sektor pertanian perladangan berskala komersial dan teknologi terbaru akan diperkenalkan supaya Koridor Utara menjadi zon makanan moden.

Dengan itu produk makanan yang dihasilkan bukar sekadar untuk sara diri tetapi juga mampu dieksport terutama produk pertanian segar dan premium serta hasil pertanian yang telah diproses.

Ia secara tidak langsung membantu Malaysia mencapai objektifnya untuk menjadi sebuah negara yang dapat menampung keperluan sendiri selain untuk eksport.

Meskipun begitu, tumpuan sepenuhnya terhadap pertumbuhan ekonomi sahaja adalah tidak memadai dan jika ia diteruskan secara berasingan, ia akan membawa kepada pembangunan yang tidak seimbang di Wilayah Utara.

Untuk mencapai pembangunan ekonomi yang akan memanfaatkan sebahagian besar penduduk Koridor Utara, pembangunan mestilah dilakukan dengan cara yang membabitkan penglibatan aktif penduduk, dan dapat memanfaatkan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.

Ini termasuk penduduk luar bandar yang miskin, ibu tunggal dan golongan berpendidikan rendah termasuk mengukuhkan usaha-usaha membasmi kemiskinan.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program-program di bawah inisiatif Koridor Utara bertujuan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah ini sebanyak 306 peratus daripada RM52.7 bilion pada tahun 2005 kepada RM214.1 bilion menjelang tahun 2025.

Peningkatan ini sepadan dengan peningkatan KDNK per kapita sebenar daripada RM8,9887 setahun pada tahun 2005 kepada RM24,582 menjelang tahun 2025.

1 KOMEN:

Anonymous said...

semoga Kedah bertambah maju hendaknya.