Pages

Friday, July 13, 2007

PELAJAR ASING DI UM MENINGKAT

UNIVERSITI Malaya (UM) terus menjadi tumpuan bukan saja di kalangan pelajar tempatan, malah luar negara apabila 728 penuntut asing mendaftar bagi mengikuti pelbagai bidang pengajian pasca siswazah bagi sesi 2007/2008.

Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim, sambil menjelaskan jumlah pelajar asing itu meningkat berbanding sesi lalu berkata, mereka dari pelbagai negara antaranya China, Yaman, Iran, Turki, Indonesia serta Russia.

Beliau berkata, peningkatan itu juga mencerminkan hasil kesungguhan universiti tertua itu mempromosi pendidikan tingginya ke peringkat antarabangsa.

“Kita mengadakan promosi ke beberapa negara tahun lalu untuk menarik lebih ramai pelajar asing dan usaha itu akan diteruskan secara agresif pada masa depan..

“Selain pasca siswazah, permohonan pelajar asing untuk mengikuti program ijazah sarjana muda di UM juga membanggakan.

“Malah bagi sesi ini, kira-kira dua peratus daripada 4,300 kemasukan ke program ijazah pertama adalah pelajar antarabangsa menjadikan jumlah keseluruhan mereka kini 310 orang,” katanya ketika ditemui di UM, kelmarin.

Rafiah berkata, perkembangan positif itu dilihat memerlukan promosi berterusan bagi memastikan lebih ramai pelajar asing memilih UM sebagai universiti pilihan utama di rantau ini.

Sambil menyatakan kecemerlangan UM sudah diperakui, beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak menyediakan program pendidikan lebih inovatif supaya menjadi daya tarikan utama pelajar asing ke negara ini.

Kemasukan pelajar asing ke negara ini, katanya, dapat mewujudkan suasana global dalam kampus, selain membantu membentuk mahasiswa lebih berdaya saing serta mempunyai minda terbuka sejajar dengan matlamat membentuk modal insan seimbang.

Beliau berkata, usaha itu memerlukan sokongan semua pihak bukan saja di kalangan kakitangan akademik dan pengurusan, malah sokongan.

Selain pelajar antarabangsa, Rafiah berkata, jumlah pensyarah asing berkhidmat di UM juga meningkat kerana yakin terhadap program pendidikan ditawarkan berkualiti dan mendapat pengiktirafan global.

Antara program pilihan pelajar asing di UM ialah kejuruteraan, perniagaan dan perakaunan, sains komputer dan teknologi maklumat, pengajian Melayu serta ekonomi dan pentadbiran.


1 KOMEN:

penjaga_agama said...

Marbatkan UM dipersada antarabangsa
Sama-sama kita gembeling tenaga..SUA Permadah