Suasana kampus kembali meriah. Tamat semester lepas, dua bulan kampus Universiti Malaya sunyi. Namun, Julai ini kampus ceria kembali. Tidak kira sama ada mahasiwa baru ataupun yang sudah bergelar senior, semua kelihatannya datang dengan semangat dan azam yang baru. Menjadi perantau ilmu yang sanggup mengembara meninggalkan kampung halaman demi mengejar sebuah kejayaan. Keazaman terpasak dalam hati kita untuk bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu. Besar harapan kita untuk meraih sebuah kejayaan, namun besar lagi harapan ayah bonda. Inilah masanya untuk menzahirkan dan membuktikan kesungguhan dari terutamanya bagi mahasiswa baru. Namun bagi senior pula, inilah masanya untuk meningkatkan keupayaan itu untuk menjadi yang terbaik dalam pelbagai perkara.
Bila dikenang, kembara sang pencinta ilmu bermula dengan menyebut aliff, ba & ta atau membilang 1,2 & 3. Tujuannya adalah itu, manakala ikatannya adalah guru. Guru adalah ibu dan ayah bagi kita di alam belajar. Dari 1,2 & 3 itulah, kita mula mencipta segaris demi segaris kejayaan sehingga kita berjaya berada di sini. Jatuh bangun di alam persekolahan dulu, banyak dikongsi bersama cikgu. Lantas sekarang, rindu kepada mereka sangat menebal. Terima kasih cikgu!!. Kami tak kan berada di sini tanpa pengorbanan serta jerih payah cikgu mendidik kami. Kasih sayang yang dihulurkan akan sentiasa kejap di ingatan.
Kini, kita harus menyedari letak duduk kita. Mahasiswa. Suatu perkataan yang diiring dengannya pelbagai ujian dan cabaran bagi mematangkan dan mendewasakan kita. Sang perantau akan sentiasa diuji. Itu perkara pasti. Cumanya ujian itu berbeza mengikut tahap seseorang. Paling penting di sini, kesedaran untuk menjadikan ujian dan cabaran itu sebagai batu loncatan untuk meningkatkan kemahiran diri. Akan ada yang bakal diuji dengan kekurangan wang, kesukaran memahami pelajaran, cinta yang putus di pertengahan dan pelbagai macam lagi ujian. Saat itu, yang sangat diperlukan adalah sokongan teman-teman, doa ayah bonda di kampung halaman, dan utamanya kasih Allah Yang Maha Menciptakan.
Begitulah sebahagian kisah kembara sang pencinta ilmu. Perjalanan seterusnya akan dikisahkan pada masa-masa hadapan. Sufyan as-Tsauri pernah berkata : “Sesiapa yang menginginkan dunia dan akhirat, hendaklah ia mencari ilmu” Dalam surah al-Imran (138) : “Jangan berasa lemah dan jangan berasa susah kerana kamu akan menang jika kamu bersungguh-sungguh…”.
~STRIVE FOR YOUR FUTURE!!!!~
^ PERMADAH 1 KELUARGA ^
0 KOMEN:
Post a Comment