Setiap orang mengimpikan kejayaan. Namun kelihatannya hanya sebahagian kecil sahaja yang mengecapi kejayaan. Walaupun ramai yang percaya kejayaan datang daripada usaha namun tidak kurang juga yang beranggapan nasib baik atau takdir yang merupakan faktor kejayaan seseorang. Jadi benarkah begitu? Benarkah takdir yang lebih memainkan peranan dalam menentukan kejayaan seseorang?
Sebenarnya tidak ada satu apa pun dalam dunia ini yang berdiri sendiri tanpa berkait dengan yang lain. Ertinya tiada satupun yang berlaku kerana ia harus berlaku. Semuanya punyai sebab dan hubung kait antara satu sama lain. Namun begitu, banyak perkara dalam dunia ini yang mana cukup sukar untuk diterangkan kerana terlalu rumit atau bertitik tolak dari faktor kurangnya ilmu manusia.
Sebenarnya tidak ada satu apa pun dalam dunia ini yang berdiri sendiri tanpa berkait dengan yang lain. Ertinya tiada satupun yang berlaku kerana ia harus berlaku. Semuanya punyai sebab dan hubung kait antara satu sama lain. Namun begitu, banyak perkara dalam dunia ini yang mana cukup sukar untuk diterangkan kerana terlalu rumit atau bertitik tolak dari faktor kurangnya ilmu manusia.
Begitu jugalah dengan apa yang dikatakan sebagai takdir atau nasib baik. Ia ada penjelasannya cuma terlalu sukar. Namun apa yang jelas dapat kita lihat ialah takdir juga boleh dipertanggungjawabkan kepada diri kita sendiri. Dalam erti kata lain gagal atau berjaya dalam hidup kita sebahagian besarnya ditentukan oleh Allah dan juga berpunca daripada diri kita sendiri.
Sebenarnya jika diperhalusi, keyakinan diri memainkan peranan utama dalam menentukan tindakan dalam hidup seseorang. Tindakan ini pula akan mencorakkan hidupnya. Pergantungan pada Allah menjadi kekuatan diri di samping keyakinan yang sedia pada diri.
Orang yang yakin dengan dirinya berbeza dengan orang yang tiada keyakinan. Seseorang yang percaya pada dirinya menjadi lebih praktikal dalam tindakannya kerana keyakinan ini boleh menghapuskan dialog- dialog dalaman negatif dalam fikiran. Ini menyebabkan fikiran lebih tenang dan istiqamah dalam melakukan sesuatu kerja yang juga berperanan dalam menghapuskan sifat ragu-ragu untuk menyiapkan sesuatu kerja.
Selain daripada itu, keyakinan diri turut mempunyai keajaibannya yang tersendiri. Sejarah menunjukkan tokoh-tokoh dunia yang agung semuanya mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Rasulullah sallallahu a'laihi wa sallam boleh dijadikan contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman. Baginda benar- benar yakin Allah akan sentiasa membantu gerak kerja dakwah baginda sehingga akhirnya Islam berjaya menguasai hampir 2/ 3 dunia. Keyakinan sebeginilah yang harus diterapkan dalam mengaplikasikan pergantungan yang paling ideal dalam kehidupan seorang insan yang bergelar mukmin yang bertakwa.
Penggunaan istilah "bernasib baik" juga sebahagian besarnya disumbangkan oleh sifat yakin pada diri sendiri. Apabila keyakinan benar- benar terpasak di dalam diri, kita akan melihat seolah- olah semua perkara yang kita perlukan akan datang dengan mudah. Keadaan ini akan berterusan sehinggalah kita berhenti mempercayai keyakinan diri. Oleh itu, dalam hidup ini, kita tidak mempunyai pilihan lain untuk berjaya melainkan dengan memasakkan keyakinan bahawasanya segala- galanya mampu dicapai selagi mana pergantungan pada Allah diletakkan pada tahap yang paling tinggi dalam hidup kita.
Konsep manusia sebagai makhluk terpilih yang diamanahkan mentadbir bumi sangat perlu dititik beratkan dalam memastikan landasan hidup kita sentiasa berada di atas jalan lurus yang diredhai Allah. Apabila kita yakin bahawa segala gerak geri dan amalan sentiasa berada di bawah pengawasan- Nya, sudah tentu segala perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah akan dapat dielakkan. Ini kerana peranan yang perlu dimainkan oleh seorang khalifah amatlah besar & tidak seharusnya dipandang enteng.
Perubahan diri dalam meningkatkan kuantiti & kualiti ibadah perlulah seiring bersama- sama dengan amar ma'ruf nahi munkar demi memastikan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini dapat dilaksanakan. Segala usaha yang kita curahkan untuk memperbaiki diri dalam menjadi khalifah terbaik pasti akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ingatlah, di akhirat nanti, apa yang akan Allah persoalkan adalah sejauh manakah usaha yang telah kita curahkan dalam meninggikan kalimah Allah, bukan hasil dari segala curahan tenaga tersebut.
Kuatkan hati, kentalkan jiwa. Amanah ibu bapa, amanah diri & akademik jangan sesekali diabaikan.. Yakinlah, di situ kejayaan akan tercipta.
"PERGANTUNGAN HANYA PADA ALLAH"
0 KOMEN:
Post a Comment