Pages

Thursday, October 22, 2009

Sidang Media & Pelancaran Kelab



Pada 15 Oktober yang lalu, telah berlangsung sidang media berhubung isu sebatan Kartika & penubuhan Kelab Sahabat Kartika bertempat di Gazebo, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya. Mahasiswi yang terlibat adalah wakil-wakil mahasiswi di peringkat MPMUM, PMIUM, PMAPIUM dan persatuan-persatuan anak negeri seperti PERMADAH, PERMANIS, PMKUM, dan PEMARAK.

Pendahuluan
Kartika Sari Dewi Sukarno menjadi wanita pertama dijatuhkan hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah di Malaysia. Beliau yang disabitkan hukuman 6 kali sebatan atas kesalahan meminum arak di khalayak ramai mendapat perhatian seluruh masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, pihak Kerajaan, badan-badan NGO dan masyarakat awam juga tidah ketinggalan dalam memberi persepsi dan pandangan, sama ada berbentuk kritikan atau sokongan.

Mahasiswa Ziarah Kartika
Selaras dengan matlamat mahasiswi untuk mendepani isu-isu yang berkaitan dengan wanita, maka suatu pertemuan bersama beliau dirancang. Maka pada awal bulan Oktober yang lalu, beberapa pimpinan mahasiswi Universiti Malaya mengunjungi rumah Kartika di Sungai Siput, Perak.

Penubuhan Kelab Sahabat Kartika
Ekoran daripada kunjungan tersebut, mahasiswi menggagaskan idea untuk menubuhkan Kelab Sahabat Kartika Universiti Malaya. Kelab Sahabat Kartika ditubuhkan atas kesedaran untuk menyatakan sokongan kepada Kartika Dewi Sukarno atas pendirian beliau menerima bahkan meminta untuk diteruskan hukuman sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Apa yang paling utama, pendirian beliau ini telah menjadi pencetus kepada kesedaran masyarakat untuk mengetahui hukuman undang-undang syariah dan perbezaannya dengan undang-undang sivil denan lebih lanjut dan lebih teliti.

Kini, pemimpin masyarakat mula bersuara, badan kehakiman mula mengkaji semula, masyarakat mula menilai dan mempelajari bahkan mahasiswa mula celik kepada isu agama dan kemasyarakatan. Seluruh pimpinan mahasiswi begitu optimis, jika usaha memperbaik pelaksanaan undang-undang syariah di negara kita terus dilakukan secara konsisten dan menyeluruh, pasti persepsi Islam agam terrorist dan fahaman islamphobia akan terhapus. Ahli Kelab Sahabat Kartika juga akan turun padang untuk memberi sokongan kepada Kartika atas dasar keyakinan bahawa pilihan beliau untuk memperbaik diri dan memberi pengajaran kepada orang lain adalah satu tindakan yang tepat dan bijak.

Harapan Mahasiswa
Mahasiswa cukup optimis bahawa penubuhan kelab ini dapat menjadikan masyarakat, kaum wanita terutamanya untuk berfikiran lebih terbuka untuk menerima individu-individu seperti Kartika. Realitinya, masyarakat hari ini masih lagi mendiskriminasi mereka yang melakukan kesalahan atau jenayah walaupun mereka sudah insaf dan bertaubat. Mahasiswa juga mengharapkan agar penubuhan kelab ini mendapat sokongan dan dokongan ramai.

Pendirian Mahasiswa
Di atas penubuhan kelab ini, mahasiswa berpendirian bahawa:
  1. Mahasiswa memuji dan menyokong tindakan Kartika yang berani tampil mengaku kesalahan dan mahu menerima hukuman dengan rela hati. Mahasiswa juga mencabar sesiapa yang pernah membuat kesalahan jenayah untuk tampil seperti Kartika.
  2. Mahasiswa mendesak hukuman ke atas Kartika disegerakan untuk mengurangkan serangan psikologi yang dihadapi oleh beliau.
  3. Mahasiswa memandang isu ini sebagai suatu titik permulaan kepada Kartika dan mereka yang sepertinya untuk berubah ke arah yang lebih baik.
  4. Mahasiswa mencadangkan supaya pendidikan terhadap hukum dan undang-undang syariah lebih diperluas agar masyarakat memahami hikmah hukuman sebagai didikan, bukan untuk menzalimi.
  5. Mahasiswa mendesak supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat lebih serius dalam membaik-pulih nilai-nilai moral kaum wanita yang semakin hilang dalam arus modenisasi.
Penutup
Sebagai konklusi, mahasiswa menyeru kepada semua pihak agar memberi sokongan terhadap penubuhan kelab ini. Di samping itu, mahasiswa mengharapkan agar penubuhan kelab ini menjadi pencetus kepada usaha dan inisatif untuk membangunkan masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi ke arah membina bangsa Malaysia yang bertamadun.

0 KOMEN: