Pages

Sunday, November 18, 2007

Kerjasama universiti Malaysia – China

SHANGHAI 17 Nov. – Universiti awam Malaysia sedang meningkatkan hubungan dengan universiti terkemuka China dalam usaha menjadikan Malaysia bukan saja sebagai pusat pengajian peringkat ijazah tetapi juga peringkat lepasan ijazah bagi pelajar dari seluruh dunia, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini.
Beliau berkata, jika semuanya berjalan seperti dirancang, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan memulakan program pengajian peringkat sarjana dengan Shanghai Jiatong University, antara universiti tertua dan terkemuka China.

Pagi ini, Mustapa mengadakan pertemuan dengan Zhang Shang Kun, naib presiden majlis universiti itu, untuk berbincang tentang rancangan mengidupkan semula program pengajian peringkat sarjana dalam jurusan perniagaan China antara UPM dan universiti berkenaan.

“Kami ingin hidupkan semula program ini. Universiti Malaya (UM) akan memulakan program berkembar peringkat sarjana dalam bidang Pengajian China Julai tahun depan,” katanya kepada media Malaysia di sini.
UM dan UPM adalah antara empat institusi pengajian tinggi awam Malaysia yang diberi tugas sebagai universiti penyelidikan dalam usaha merangsang rakyat Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping menarik pelajar asing.

Malaysia juga, katanya, akan memberi tumpuan terhadap pasaran baru termasuk Afrika dan negara bekas blok Soviet seperti Kazakhstan, Turkmenistan dan Uzbekistan dalam usahanya menarik pelajar antarabangsa hingga mencapai 100,000 orang menjelang 2010.

Kini, China dan Indonesia merupakan dua pasaran terbesar Malaysia dalam usaha ini.

– Bernama

0 KOMEN: