Pages

Monday, August 20, 2007

MENSYUKURI DAN MENGISI NIKMAT KEMERDEKAAN



Pada penghujung bulan ini, negara kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50. "Malaysiaku Gemilang" tema sambutan Jubli Emas Hari Kemerdekaan negara menggantikan " Keranamu Malaysia" yang digunakan sejak tujuh tahun yang lalu. Kemajuan yang dicapai oleh negara boleh dirumuskan dalam perkataan 'gemilang' yang juga mewakili segenap perasaan rakyat negara ini.
Dalam menjelang kemuncak sambutan 50 tahun kemerdekaan negara ini, hakikatnya banyak antara kita tidak mungkin mampu untuk menghayati kesyukuran, kegembiraan serta linangan air mata datuk moyang kita apabila mereka mendengar laungan bersejarah “merdeka, merdeka, merdeka” daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman, yang berkumandang di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.
Sebilangan besar generasi sekarang menyifatkan Hari Kemerdekaan sama dengan cuti umum yang lain, tanpa nilai keinsafan dan patriotisme yang signifikan pada diri.

Realitinya, semakin jauh jarak di antara masa kita dilahirkan berbanding dengan zaman sebelum atau awal merdeka, maka semakin sukar untuk kita bersama-sama merasai bahang emosi kegembiraan, tangisan dan rintihan generasi sebelum kita. Malah tanggungjawab mempertahankan nilai-nilai kemerdekaan ini sebenarnya menjadi bertambah sukar.

Apalah erti kemerdekaan jika masih banyak lagi rakyat negara ini yang tidak memahaminya, bahkan ada pula yang tidak tahu bertutur bahasa kebangsaan.

Menurut Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Prof. Dr. Abdul Rahim Abd. Rashid, hari ini generasi pramerdeka sedang diganti generasi pascamerdeka dalam semua sektor kehidupan. Satu kesan dari proses tersebut ialah kepekaan terhadap keperitan hidup terjajah dan perjuangan mencapai kemerdekaan serta penghargaan terhadapnya semakin menurun.
“Negara kita negara pelbagai kaum dan keturunan yang boleh membawa ketidakstabilan sosial, politik dan ekonomi yang akan menjejaskan pembangunan. Secara kebetulan tidak banyak peluang untuk kaum-kaum bercampur gaul dan menjalinkan persahabatan.
“Barangkali perpisahan antara mereka semakin jauh kerana hasutan oleh pelampau kaum masing-masing. Jika aliran ini tidak ditangani, keamanan dan kesejahteraan negara mungkin terjejas,” kata bekas Pengarah Pusat Perkembangan Keluarga, Universiti Malaya itu.

Justeru kerajaan berusaha memperkenalkan sekolah wawasan yang meletak sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil dalam satu kampus supaya aktiviti kokurikulum dapat diadakan bersama. Tetapi program itu disambut dengan pelbagai alasan untuk menolaknya.
Hari ini para pelajar dari pelbagai kaum semakin terasing. Budak Cina ke sekolah Cina; anak Melayu ke sekolah kebangsaan.

Usaha membina perpaduan antara kaum adalah tanggungjawab semua pihak. Semangat mengeratkan perpaduan mesti berlaku di peringkat keluarga, sekolah, tempat bekerja dan masyarakat.
Sokongan penuh masyarakat di semua peringkat kepada usaha perpaduan itu mampu mengukuhkan azam politik kerajaan untuk mewujudkan Malaysia yang benar-benar bersatu dan berjaya.

Dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita melihat Malaysia dipimpin oleh orang yang amat bertanggungjawab dalam soal hubungan kaum. Mereka sedar tentang keseimbangan dan asas-asas sejarah bahawa politik Malaysia berasaskan sistem kenegaraan Melayu tetapi pada masa yang sama kepentingan kaum-kaum lain perlu dijaga, dipelihara dan dimajukan.
Perdana Menteri pada tahun lalu ada menjelaskan bahawa dalam memelihara kepentingan, membantu kepentingan bangsa Melayu tetapi kita tidak lupa kaum lain ada hak juga. ‘‘Mengikut Perlembagaan, mereka ada hak dan sebagai pemimpin kita tidak boleh lupa apa itu hak mereka. Sebagai pemimpin kita perlu mempertahan hak mereka kerana kita perlu mendukung Perlembagaan,” kata Abdullah yang juga Presiden UMNO.

Perlembagaan adalah kontrak pertama yang diwujudkan hasil muafakat pemimpin-pemimpin masa dulu iaitu bapa-bapa kemerdekaan. Ia bukan mudah tetapi mereka berjaya mendapat formula yang hari ini diwariskan kepada kita untuk memelihara, menjaga dan mengamalkannya.

Cukuplah tragedi hitam 13 Mei 1969 sebagai pengajaran. Fenomena tersebut merupakan masalah warisan peninggalan penjajah yang sengaja memisah-misahkan pelbagai kaum mengikut sektor ekonomi melalui dasar pecah dan perintahnya hingga melebarkan jurang ekonomi antara masyarakat pribumi dan kaum pendatang yang dibawa masuk oleh Inggeris.

Rentetan daripada peristiwa hitam inilah maka kerajaan pada waktu itu telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara yang dianggotai oleh semua parti politik kecuali Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Melalui cadangan anggota majlis maka pelbagai dasar baru digerakkan seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kesemuanya berasaskan tindakan afirmatif bagi menzahirkan persepakatan kaum.

Namun, selepas hampir 36 tahun dasar-dasar penegasan diperkenalkan, keadaan ekonomi, status sosial dan pendidikan bumiputera masih jauh terkebelakang berbanding bukan bumiputera. Umpamanya dari segi pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat pada tahun 2002 hanya sekitar 18.7 peratus. Jauh sekali daripada nisbah 30 peratus yang disasarkan DEB.

Sebab itulah amat tepat sekali perencanaan kerajaan untuk menyuntik semangat baru memperkasa perpaduan nasional dengan mengekalkan dasar afirmatif untuk menangani ketidakseimbangan jurang sosioekonomi antara kaum secara komprehensif dan bersepadu pada masa yang sama memperkasa sekolah kebangsaan dengan peruntukan besar.
Kemerdekaan bukanlah bermakna masa untuk bersenang atau merasa selesa, tetapi kemerdekaan harus diberi makna dan pengisian oleh generasi selepas merdeka. Kemerdekaan yang berusia setengah abad ini tidak akan bermakna andai tidak mengisi dan memaknakan serta menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan perpaduan kaum masih belum erat. Lima abad usaha perpaduan dijalankan oleh Tunku, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan belum erat dalam erti sebenar apabila ada isu melibatkan kepentingan kaum diganggu gugat. kita sedang masuk ke era lima dekad lagi, bagaimana agaknya perpaduan kaum ketika Malaysia menyambut ulang tahun ke-100.

0 KOMEN: