Pages

Tuesday, May 01, 2007

Coretan Tinta Helwa

Bismillah al-Rahman al-Rahim
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Assalmualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Berjaya juga kita mengakhiri dan seterusnya menamatkan pembelajaran untuk sesi kali ini, setelah bertungkus lumus dan berhempas-pulas menghadapi final exam sebelum ini. Semoga kita semua mendapat keputusan yang cemerlang setimpal dengan apa yang telah kita usahakan selama ini. Insya-Allah… Bersyukurlah kita sekali lagi, kerana masih lagi diberikan nikmat dan kekuatan untuk menongkah arus kehidupan sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi di bumi Universiti Malaya yang bersejarah ini..

Untuk ke sekian kalinya, kita akan menempuh semester baru bagi sesi kemasukan 2007/2008 untuk meneruskan lagi perjuangan kita yang belum selesai ini. Begitu juga dengan Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya (PERMADAH) yang kini sudahpun mencecah usia 31 tahun. Semoga dengan pertambahan usia itu akan menjadikannya sebagai sebuah persatuan yang matang, unggul dan mantap dari segi gerak kerjanya.

Saya, mewakili Team Helwa dan soff pimpinan baru mahasiswi PERMADAH sesi 2007/2008 ingin mengucapkan salam muhibbah dan perpaduan yang tidak terhingga buat seluruh family PERMADAH dan berharap semoga kita semua telah bersedia untuk terus menabur bakti dan menyumbang idea untuk persatuan yang kita sama-sama dokongi ini khususnya dan negeri Kedah Darul Aman amnya. Tanpa komitmen dan sokongan yang padu dan jitu daripada sahabat-sahabat sekalian, nescaya akan tempanglah sesuatu organisasi itu samada besar ataupun kecil kapasitinya.

Sebagai penerus mata rantai perjuangan dan penyambung risalah Rasulullah S.A.W., banyak ranjau dan duri yang bakal kita tempuhi bersama-sama ke arah menjayakan matlamat perjuangan PERMADAH. Oleh sebab itu, rasa kebersamaan dan kesatuan antara kita amat perlu bagi membantu ke arah memantapkan lagi persatuan ini. Alangkah gembiranya saya kerana dengan sesi kemasukan pelajar baru yang akan datang ini, akan menambahkan lagi keahlian Helwa yang sebelum ini telah pun mencecah seramai 180 orang ahli.

Untuk menjayakan sesuatu program yang dirancang, kombinasi perlaksanaan program dan semangat sukarela di kalangan kita semua merupakan suatu keperluan asasi. Jika kita sorot kembali sejarah Helwa, saya amat berbangga dengan semangat sukarela yang ditonjolkan oleh ahli-ahli Helwa sebelum ini, sehinggakan dalam keadaan serba kekurangan, tanpa mengharapkan upah dan ganjaran, mereka telah berjaya memaksimakan sumbangan kepada warga PERMADAH dan masyarakat sekeliling. Ini kerana mereka berpegang kepada prinsip bekerja untuk bangsa, agama, dan negara, tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengikuti jejak dan semangat berpersatuan yang pada diri mereka sebagai contoh tauladan yang baik.



Di sini juga, ingin saya tegaskan bahawa Helwa sebagai sayap kanan atau tulang belakang dalam PERMADAH berikrar untuk memberikan sokongna padu dan terus berdiri teguh di belakang kepepimpinan Presiden persatuan bagi sesi kali ini iaitu, Saudara Zulkifli bin Yaakob. Helwa juga akan menndokong segala tindakan dan keputusan yang telah dipersetujui dan disepakati selagimana tidak bercanggah dengan syariat untuk kepentingan persatuan dan ahli demi mencapai visi dan misi PERMADAH.

Akhir kata, marilah sama-sama kita menjadikan Helwa sebagai satu wadah untuk menyemarakkan lagi semangat berpersatuan dan juga perpaduan di kalangan mahasiswi. Ingatlah bahawa Helwa adalah penggerak ke arah membina generasi muda terbilang. Sama-samalah kita pastikan Helwa terus melangkah maju setapak demi setapak, demi PERMADAH yang tercinta.

Helwa tidak boleh leka, Helwa harus sentiasa peka, Helwa bersiapsiagalah,
“Teguh Bersatu, Memimpin Perjuangan”

Sekian, wassalam.


MASYITOH BINTI YAACOB
Naib Presiden 2,
Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH),
Universiti Malaya,
Sesi 2007/2008.
masyit_permadah@yahoo.com

0 KOMEN: