Pages

Friday, April 27, 2007

Kenangan OPKIM ' 07

PERUTUSAN PRESIDEN


Saya dahulukan perutusan ini dengan sekalung pujian ke hadrat Allah swt yang telah melimpahkan sinaran rahmatNya kepada kita semua. Selawat dan salam kita panjatkan kepada Rasulullah s.a.w, pembawa kesejahteran kepada seluruh umat manusia.

Saya tidak mahu terlepas untuk mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk meneruskan kepimpinan PERMADAH untuk sesi ini. Salam perpaduan dan kasih yang tidak terhingga buat seluruh keluarga PERMADAH dengan harapan marilah kita sama-sama meneruskan agenda keintelektualan dan kebajikan.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana PERMADAH kini telah berusia 31 tahun perjuangannya meletakkan anak-anak kedah dibawah satu payung perpaduan dan muhibah dengan meletakkan prinsip kekeluargaan sesama ahli sebagai asas kebersamaan dan kesatuan. Setelah 31 tahun mengharungi liku-liku perjuangan di Universiti Malaya ini, pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi dengan tabah dan tenang untuk meletakkan anak-anak Kedah di landasan yang tepat dan betul. Di sinilah tempat persinggahan teknokrat yang berjaya, korporat yang ternama, ahli agama yang berjasa, pendidik yang tidak kenal erti putus asa dan juga tokoh-tokoh yang berkuasa. Di sinilah juga, wadah ilmu dan pengalaman berorganisasi para cendekiawan semasa bergelar mahasiswa dahulu. Sumbangan yang kecil di sini dahulu akhirnya menyumbang sesuatu yang besar kepada agama, bangsa dan negara sekarang.

Kini, suasana dan tuntutan organisasi telah banyak mengalami transition yang mana kita tidak boleh ketinggalan atau mengecualikan daripada transition tersebut. Kegagalan kita ber’transition’ akan mengakibatkan kita tiada nilai atau semakin dipinggirkan oleh arus semasa. Dalam menghadapi arus ini, PERMADAH telah bersiap sedia menjadi wadah atau pusat berorganisasi yang mempunyai kemampuan dan kekuatan membekalkan ahli-ahlinya dengan ilmu dan pengalaman berorganisasi. Dengan label sebagai pusat ilmu dan pengalaman berorganisai ini, kita sebenarnya melengkapkan kehidupan mahasiswa-mahasiswi UM dengan satu cabang ilmu yang tidak disentuh di dalam kuliah-kuliah akademik. Inilah sebenarnya perkara yang menjadi kewajipan kepada kita sebagai persatuan pelajar untuk melengkapkan proses pendidikan di universiti.

Jika dilihat pada hari ini, kegagalan kita berfungsi dengan sepenuhnya dan berkesan telah menyebabkan rakan-rakan kita terjerumus dengan kehidupan yang luar biasa. Ketidakmampuan kita membawa mereka ke dalam persatuan telah mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam dunia sosial yang melampau di luar kampus. Inilah yang kita perlu renungi dan kembali kepada asas penubuhan persatuan itu sendiri. Kita perlu bergerak dan terus bergerak mengumpulkan kekuatan dan berusaha mengembalikan rakan-rakan kita ke arus organisasi yang mana kita berkenyakinan dengan cara ini kita dapat menjauhkan mereka daripada terlibat dengan masalah sosial yang boleh merosakkan diri mereka sendiri disamping mengancam negara. Kelenturan semangat berpersatuan dikalangan mahasiswa mahasiswi perlu kita atasi dan bertindak pantas memperbaiki keadaan tersebut.

Sebagai salah satu persatuan yang memainkan peranan penting di Universiti Malaya ini, kita perlu terus bergerak gagah kehadapan dengan menonjolkan imej dan teladan yang baik. Kita meyakini PERMADAH mampu menjadi sebuah gerakan mahasiswa jika mendapat sambutan dan sokongan yang padu dari kalangan ahli. Gerakan yang ingin dibentuk ini perlu melangkaui sempadan universiti dan mahasiswa. PERMADAH perlu menjadi golongan yang prihatin terhadap nasib rakyat yang terpinggir terutamanya di Kedah yang mana kita semua menyedari masih wujud lagi kemiskinan di Kedah. Hal-hal inilah yang kita boleh perjuangkan disamping dapat membantu kerajaan lebih peka terhadap kebajikan rakyat yang kadang-kadang mereka terlepas pandang. Kita juga mahu menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan Kedah.

Akhirnya, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian untuk bersama-sama dengan PERMADAH di dalam kita merencanakan dan melaksanakan agenda-agenda persatuan yang dapat melonjakkan PERMADAH sebagai sebuah gerakan perjuangan mahasiswa yang mengimbangi dan mengharmonikan elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan. Di sini juga, saya mewakili barisan kepimpinan PERMADAH di segenap peringkat mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir semester dan didoakan semoga berjaya dengan keputusan yang cemerlang.


“Teguh Bersatu, Memimpin Perjuangan”
Sekian, wassalam.



ZULKIFLI BIN YAAKOB

PRESIDEN

PERSATUAN MAHASISWA KEDAH (PERMADAH)

UNIVERSITI MALAYA.

SESI 2007/2008