Pages

Sunday, June 22, 2008

MELONJAKKAN PERMADAH SEBAGAI GERAKAN PERJUANGAN MAHASISWA – BAHAGIAN 2

Oleh:Mohamad Azizuddin Md Daud
Mantan Presiden (Sesi 2006/2007) Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya (PERMADAH)

Pembangunan Organisasi

Dalam membincangkan mengenai pembangunan organisasi, ada beberapa perkara yang perlu kita sedari. Pertamanya ialah gagasan yang menjadi matlamat persatuan iaitu melonjakkan PERMADAH sebagai gerakan perjuangan mahasiswa. Keduanya, realiti organisasi PERMADAH pada ketika ini. Hakikatnya hari ini PERMADAH wujud sebagai organisasi yang berpengaruh di dalam kampus tetapi agak terpinggir di persada masyarakat. Masyarakat Kedah khususnya mengenali PERMADAH melalui generasi yang terdahulu. Ini bermakna kita pernah berada di tengah-tengah persada masyarakat suatu ketika dahulu. Sememangnya kita pada hari ini tidak tahu apa yang dilakukan oleh generasi yang terdahulu sehingga PERMADAH dikenali dan dingati sehingga kini. Maka sekarang tugas dan tanggungjawab kita untuk meletakkan kembali PERMADAH pada kedudukan yang seiring dengan usianya. Dalam menerangkan mengenai pembangunan organisasi, terdapat tujuh elemen yang saya akan ketengahkan.

Elemen yang pertamanya yang perlu digerakkan untuk mencapai gagasan tersebut ialah menyusun atau merekabentuk semula struktur organisasi supaya selaras dengan peranan sebagai gerakan perjuangan mahasiswa yang akan dimainkan selepas ini. Secara umumnya, struktur organisasi PERMADAH terdiri daripada Majlis Teringgi (MT), Jawatankuasa Perhubungan Ahli (JPA), Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (HELWA), Kelab Fasilitator dan Jawatankuasa Peringkat Eksekutif. Dalam soal rekabentuk semula organisasi ini, ada beberapa struktur yang perlu dikekalkan dan beberapa struktur yang lain memerlukan penegasan. Bagi saya struktur pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) adalah memuaskan dan perlu diteruskan. Tetapi bagi peringkat jawatankuasa-jawatankuasa yang lain perlu beberapa penegasan supaya ia lebih berfungsi dengan baik.

Pembaikpulih mana-mana kecacatan atau kelompangan pada bahagian-bahagian dalam struktur organisasi adalah perlu dan mendesak. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada bahagian-bahagian lain. Keseluruhan ia akan berbalik kepda MT. Mereka yang menjadi MT ini akan menghadapi masalah dan sukar melaksanakan peranannya jika jawatankuasa di peringkat pelaksana tidak berfungsi dan tiada kerjasama yang baik. Inilah yang perlu diberi perhatian khususnya oleh semua pihak. Sikap bergantung sepenuhnya kepada perincian daripada MT harus diubah. Sebaliknya, sebagai pihak yang dilantik memegang jawatan, kita perlu memahami peranan yang perlu dimainkan dan pandai memperluaskan fungsi serta tugas.

Elemen yang kedua ialah memantapkan barisan kepimpinan dari segenap peringkat melalui permahaman berkaitan organisasi dan pentingnya ikatan ukhwah yang padu terutamanya sesama pimpinan. Tanpa proses ini, perjalanan persatuan boleh terjejas terutama sekali apabila timbulnya konflik di dalam persatuan. Menyedari pemahaman organisasi dan ukhwah adalah perkara asas dan yang paling utama kepada pimpinan persatuan, saya mengesyorkan program Akademi Kepimpinan (AK) dan Dewan Induksi Kepimpinan (DIK) menjadi sistem organisasi yang perlu diadakan setiap sesi. Ini kerana program ini adalah satu proses pemantapan barisan kepimpinan PERMADAH yang berperanan besar mengukuhkan pemahaman terhadap organisasi PERMADAH dan mengukuhkan ukhwah sesama ahli dan pimpinan.

AK diwujudkan untuk menjadi pusat latihan kepada setiap ahli PERMADAH terutamanya dalam aspek kepimpinan, pemahaman organisasi dan ikatan ukhwah yang erat. Aktiviti dalam AK lebih menjurus kepada pembinaan seseorang untuk menjadi pemimpin dalam organisasi. Manakala DIK ialah lanjutan daripada AK yang berperanan melatih bakal barisan kepimpinan PERMADAH secara bersepadu dan menyeluruh. DIK lebih menumpukan soal berpasukan dalam kepimpinan iaitu membina asas berkaitan usaha mewujudkan pasukan kepimpinan. Ini kerana kita telah mengorak langkah menjadikan pasukan kepimpinan sebagai identiti kepada barisan kepimpinan PERMADAH. Kita mahu pihak-pihak lain mengenali barisan kepimpinan PERMADAH berasaskan pasukan dan bukannya secara individu.

Elemen yang ketiga ialah proses pengukuhan ahli. Berkaitan perkara ini, kita terpaksa menghadapi cabaran yang besar dan memerlukan satu formula yang berkesan kerana berdepan dengan realiti semasa yang menyaksikan fenomena hilang minat mahasiswa terhadap kegiatan persatuan pelajar. Fenomena ini tidak saya huraikan dalam ruangan yang terbatas ini, tetapi saya serahkan kepada pimpinan hari ini untuk mencari formula yang sesuai bagi mengembalikan mood mahasiswa terhadap persatuan pelajar.

Dalam proses pengukuhan ahli ini, bagi saya, aktiviti Diskusi Ilmiah (DI) yang diwujudkan sebelum ini perlu terus dikekalkan dan menjadi sistem organisasi. Walaupun kurang sambutan tetapi ia adalah penting sebagai satu program pendidikan atau tarbiah di dalam PERMADAH. Aktiviti ini tidak boleh dimansuhkan tetapi perlu diberi nilai tambah supaya ia menjadi nyawa kepada PERMADAH. Ini bermakna ia akan menjadi tugas berat yang harus dipikul oleh kepimpinan hari ini dan akan datang dengan melipatgandakan usaha supaya matlamat menjadikan DI sebagai nyawa PERMADAH terlaksana.

Elemen yang keempat menjurus kepada kepelbagaian aktiviti persatuan. Aktiviti persatuan ialah aktiviti berterusan yang lazimnya dilaksanakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa dalam PERMADAH. Mempelbagaikan aktiviti persatuan boleh memainkan peranan menarik penyertaan dan minat mahasiswa kembali kepada persatuan jika aktiviti yang dilaksanakan sesuai dengan budaya mahasiswa semasa dan bersifat santai. Ini dibuktikan dengan aktiviti santai yang dilaksanakan pada sesi lepas, nyata ia mendapat sambutan. Tetapi bagi aktiviti yang menjurus kepada pembangunan sangat dukacita sambutan yang diberikan. Ini bermakna budaya mahasiswa hari ini lebih kepada akviti sebegitu. Persoalannya bagaimana kita hendak mengalih sambutan yang diberikan dalam aktiviti santai kepada aktiviti pembangunan. Perkara ini memerlukan kebijaksanaan kita untuk menangani secara strategik. Walaupun begitu, dalam mempelbagaikan program ini, matlamat, budaya dan akhlak di dalam PERMADAH harus diutamakan. Soal prinsip, kita adalah tegas, tidak boleh dikorbankan sesuka hati. Ia juga harus tidak lari daripada agenda persatuan.

Elemen yang kelima ialah berkaitan dengan pemerkasaan program. Dalam PERMADAH program adalah berbeza dengan aktiviti, ia mempunyai pengertian tersendiri. Program lebih merupakan acara besar dalam PERMADAH yang perlaksanaannya memerlukan tempoh masa yang panjang. Program harus diperkasakan supaya perlaksanaannya dapat memberi manfaat kepada organisasi dan ajk pengelola. PERMADAH perlu berani meneroka program berskala besar yang boleh memberi impak yang strategik pada masa akan datang. Menumpukan terhadap program yang lebih bersifat interaksi antara mahasiswa dengan masyarakat adalah relevan dengan masa supaya dapat membentuk jiwa mahasiswa yang sensitif atau peka dengan persekitaran. Namun begitu dalam masa yang sama tidak wajar kalau kita memingirkan terus program yang bersifat interaksi dalaman.

Elemen yang keenam ialah penjanaan kewangan. Menyedari kewangan adalah suatu yang penting dalam menguruskan persatuan, PERMADAH perlu mewujudkan plan kewangan yang strategik berserta dengan dasar-dasar yang realistik supaya dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Berdasarkan pengalaman saya, kita agak memandang enteng dalam soal ini. Kita tidak bernafsu besar dalam mengukuhkan kewangan kita, ini mungkin kerana budaya kita yang tidak terlalu bermewah. Atas sebab itu kita terlepas pandang dalam mewujudkan dan menyusun struktur kewangan yang strategik untuk diwarisi oleh generasi seterusnya. Begitu juga ketika saya memimpin persatuan ini, kita ada menyusun tindakan dalam memperkasakan kewangan kita, tetapi ia tidak distrukturkan dengan baik sehingga tidak jelas untuk dilaksanakan. Oleh itu, pemikiran kewangan kita dalam organisasi perlu di ubah bermula pada hari ini. Dalam perkara ini, saya cadangkan PERMADAH lebih menjurus kepada minda usahawan iaitu menjana kewangan dan bukannya sekadar mengurus kewangan. Disamping itu, PERMADAH boleh meneroka sumber kewangan melalui sumbangan tahunan setiap Wakil Rakyat Negeri Kedah dan lain-lain sumber lagi.

Akhirnya ialah memperluaskan jaringan dengan organisasi yang lain daripada pelbagai sektor. Berkaitan fokus ini, PERMADAH perlu menjalinkan dan mengadakan kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak. Antara yang boleh dilakukan pada peringkat permulaan ini ialah imej yang baik di peringkat UM, hubungan yang erat dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah, kerjasama yang erat dengan persatuan pelajar Kedah universiti lain, persefahaman yang baik dengan persatuan pelajar yang lain dan jalinan yang kuat dengan NGO atau badan-badan koporat. Perluasan jaringan ini adalah penting untuk menjadi sebuah Gerakan Perjuangan Mahasiswa kerana kerjasama yang wujud itu akan saling menguatkan antara satu sama lain.

* Seterusnya untuk bahagian tiga nanti akan dibincangkan mengenai perkara kedua iaitu Pusat Ilmu Berorganisasi. Nantikan...

Thursday, June 19, 2008

MELONJAKKAN PERMADAH SEBAGAI GERAKAN PERJUANGAN MAHASISWA -bahagian 1

Oleh:
Mohamad Azizuddin Md Daud
Mantan Presiden (Sesi 2006/2007)Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya
(PERMADAH)

Pendahuluan

Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya atau ringkasnya PERMADAH adalah sebuah organisasi pelajar yang berteraskan negeri. Ia ditubuhkan pada 8 Julai 1976 bersama dengan kebanyakan persatuan anak negeri yang lain. Kini usianya telah menjangkau 31 tahun kewujudan di Universiti Malaya (UM). PERMADAH ditubuhkan bertujuan untuk menghimpunkan anak-anak Kedah yang menuntut di universiti ini di bawah wadah silaturrahim yang kemudiannya bergerak sebagai satu platform perjuangan mahasiswa. Kehadirannya di lembah ilmu ini banyak memberi impak dan sumbangan yang berguna kepada mahasiswa serta masyarakat. Walaupun berteraskan negeri, PERMADAH diterima baik oleh pelbagai pihak kerana sifatnya yang universal, selari dengan budaya masyarakat Kedah. Sepanjang kewujudannya, PERMADAH telah merentasi pelbagai suasana yang mencoretkan kisah suka dan duka penggeraknya mewarnai zaman gemilang dan suram. Mereka datang dan pergi silih berganti meneruskan kesinambungan perjuangan PERMADAH di universiti ini. Jasa dan pengorbanan mereka sangat dihargai dan disanjungi. Tanpa usaha dan semangat kental mereka, memungkinkah kita berada dibawah organisasi yang seindah namanya ini.

Kini tiba giliran kalian untuk mencorak dan mewarnai latar perjuangan PERMADAH. Tanggungjawab yang diamanahkan itu diharapkan dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Cabaran dan peluang yang dihadapi oleh kalian sememangnya berbeza dengan apa yang telah kami lalui. Oleh itu, gunalah segala kebijaksanaan untuk menghikmahkan keputusan dan tindakan yang terbaik dalam meneruskan perjalanan PERMADAH untuk sesi ini.

Pasti masih ditanam di dada kita semua berkaitan gagasan baru PERMADAH yang diperkenalkan pada sesi 2006/2007 dan ditonjol serta dipopularkan pada sesi 2007/2008. Bagi yang lupa dan yang baru mengenali PERMADAH, gagasan itu ialah ‘Melonjakkan PERMADAH Sebagai Sebuah Gerakan Perjuangan Mahasiswa’. Menjadi hasrat kita semua untuk melihat PERMADAH berada dilandasan Gerakan Perjuangan Mahasiswa dengan versi tersendiri yang masih berlandaskan jati diri dan ciri-ciri PERMADAH sebagai persatuan yang berteraskan negeri. Teras negeri bukan suatu halangan untuk kita mencapai matlamat tersebut. Atas kapasiti itu kita gariskan langkah mengharmoni dan mengimbangi elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan sebagai suatu aliran ke arah pencapaian matlamat.

Mungkin ramai yang masih kurang jelas dengan gagasan yang dipasakkan ini. Hasrat kita untuk meletakkan PERMADAH pada tahap itu bukanlah bermaksud menukarkan secara keterlaluan lanskap PERMADAH. Tetapi kita hanya mengadakan penegasan terhadap peranan PERMADAH supaya ia lebih prihatin terhadap persekitaran terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti manusia disekelilingnya. Ini kerana zaman yang kita sedang lalui menuntut kita untuk prihatin terhadap pelbagai perkara yang berlaku samada kebaikan atau kerosakan. Sebagai salah satu contoh, kita mahu supaya PERMADAH sentiasa mendahului dan terkehadapan dalam membanteras gejala sosial yang berlaku dikalangan remaja. Secara jelasnya kita hanya mahu memainkan peranan yang sebenar dalam membanteras kerosakan dan menyetujui kebaikan, dan kita bukannya hendak mencetuskan konfrontasi dengan mana-mana pihak kerana kita sedar banyak jalan yang boleh kita lalui untuk merealitikan matlamat tersebut.

Lain-lain perkara yang berkaitan adalah bergantung kepada kebijaksanaan pada pimpinan ketika itu untuk menyusun strategi yang wajar dengan suasana ketika. Realiti dan suasana semasa yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi sesuatu yang kita perjuangkan, yang akan menjadikan agenda yang kita bawa itu kabur atau jelas. Agenda yang mempunyai ruang dan kesempatan akan kita jelaskan, dan yang mana tersepit terpaksa kita kaburkan.

Untuk tujuan itu, saya gariskan lima perkara yang menjadi asas pada peringkat awal menggerakkan PERMADAH di atas landasan Gerakan Perjuangan Mahasiswa. Perkara-perkara tersebut ialah
  • Pembangunan Organisasi
  • Pusat Ilmu Berorganisasi
  • Pejuang Sosial
  • Keprihatinan Antarabangsa
  • Gelombang Penerbitan dan Maklumat

Sekali lagi saya ingatkan, perkara yang dinyatakan atas ini hanyalah sebagai asas pada peringkat awal. Pada peringkat-peringkat yang seterusnya kita serahkan kepada pimpinan yang seterusnya untuk menentukan halatuju dan strategi selanjutnya. Sebagai makluman, perincian untuk perkara-perkara di atas ini akan dibincangkan pada bahagian yang selanjutnya.


* Seterusnya untuk bahagian dua nanti akan dibincangkan mengenai perkara pertama iaitu Pembangunan Organisasi. Nantikan...