Oleh:
Mohamad Azizuddin Md Daud
Mantan Presiden (Sesi 2006/2007)Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya
(PERMADAH)
Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya atau ringkasnya PERMADAH adalah sebuah organisasi pelajar yang berteraskan negeri. Ia ditubuhkan pada 8 Julai 1976 bersama dengan kebanyakan persatuan anak negeri yang lain. Kini usianya telah menjangkau 31 tahun kewujudan di Universiti Malaya (UM). PERMADAH ditubuhkan bertujuan untuk menghimpunkan anak-anak Kedah yang menuntut di universiti ini di bawah wadah silaturrahim yang kemudiannya bergerak sebagai satu platform perjuangan mahasiswa. Kehadirannya di lembah ilmu ini banyak memberi impak dan sumbangan yang berguna kepada mahasiswa serta masyarakat. Walaupun berteraskan negeri, PERMADAH diterima baik oleh pelbagai pihak kerana sifatnya yang universal, selari dengan budaya masyarakat Kedah. Sepanjang kewujudannya, PERMADAH telah merentasi pelbagai suasana yang mencoretkan kisah suka dan duka penggeraknya mewarnai zaman gemilang dan suram. Mereka datang dan pergi silih berganti meneruskan kesinambungan perjuangan PERMADAH di universiti ini. Jasa dan pengorbanan mereka sangat dihargai dan disanjungi. Tanpa usaha dan semangat kental mereka, memungkinkah kita berada dibawah organisasi yang seindah namanya ini.
Kini tiba giliran kalian untuk mencorak dan mewarnai latar perjuangan PERMADAH. Tanggungjawab yang diamanahkan itu diharapkan dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Cabaran dan peluang yang dihadapi oleh kalian sememangnya berbeza dengan apa yang telah kami lalui. Oleh itu, gunalah segala kebijaksanaan untuk menghikmahkan keputusan dan tindakan yang terbaik dalam meneruskan perjalanan PERMADAH untuk sesi ini.
Pasti masih ditanam di dada kita semua berkaitan gagasan baru PERMADAH yang diperkenalkan pada sesi 2006/2007 dan ditonjol serta dipopularkan pada sesi 2007/2008. Bagi yang lupa dan yang baru mengenali PERMADAH, gagasan itu ialah ‘Melonjakkan PERMADAH Sebagai Sebuah Gerakan Perjuangan Mahasiswa’. Menjadi hasrat kita semua untuk melihat PERMADAH berada dilandasan Gerakan Perjuangan Mahasiswa dengan versi tersendiri yang masih berlandaskan jati diri dan ciri-ciri PERMADAH sebagai persatuan yang berteraskan negeri. Teras negeri bukan suatu halangan untuk kita mencapai matlamat tersebut. Atas kapasiti itu kita gariskan langkah mengharmoni dan mengimbangi elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan sebagai suatu aliran ke arah pencapaian matlamat.
Mungkin ramai yang masih kurang jelas dengan gagasan yang dipasakkan ini. Hasrat kita untuk meletakkan PERMADAH pada tahap itu bukanlah bermaksud menukarkan secara keterlaluan lanskap PERMADAH. Tetapi kita hanya mengadakan penegasan terhadap peranan PERMADAH supaya ia lebih prihatin terhadap persekitaran terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti manusia disekelilingnya. Ini kerana zaman yang kita sedang lalui menuntut kita untuk prihatin terhadap pelbagai perkara yang berlaku samada kebaikan atau kerosakan. Sebagai salah satu contoh, kita mahu supaya PERMADAH sentiasa mendahului dan terkehadapan dalam membanteras gejala sosial yang berlaku dikalangan remaja. Secara jelasnya kita hanya mahu memainkan peranan yang sebenar dalam membanteras kerosakan dan menyetujui kebaikan, dan kita bukannya hendak mencetuskan konfrontasi dengan mana-mana pihak kerana kita sedar banyak jalan yang boleh kita lalui untuk merealitikan matlamat tersebut.
Lain-lain perkara yang berkaitan adalah bergantung kepada kebijaksanaan pada pimpinan ketika itu untuk menyusun strategi yang wajar dengan suasana ketika. Realiti dan suasana semasa yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi sesuatu yang kita perjuangkan, yang akan menjadikan agenda yang kita bawa itu kabur atau jelas. Agenda yang mempunyai ruang dan kesempatan akan kita jelaskan, dan yang mana tersepit terpaksa kita kaburkan.
Untuk tujuan itu, saya gariskan lima perkara yang menjadi asas pada peringkat awal menggerakkan PERMADAH di atas landasan Gerakan Perjuangan Mahasiswa. Perkara-perkara tersebut ialah
- Pembangunan Organisasi
- Pusat Ilmu Berorganisasi
- Pejuang Sosial
- Keprihatinan Antarabangsa
- Gelombang Penerbitan dan Maklumat
Sekali lagi saya ingatkan, perkara yang dinyatakan atas ini hanyalah sebagai asas pada peringkat awal. Pada peringkat-peringkat yang seterusnya kita serahkan kepada pimpinan yang seterusnya untuk menentukan halatuju dan strategi selanjutnya. Sebagai makluman, perincian untuk perkara-perkara di atas ini akan dibincangkan pada bahagian yang selanjutnya.
* Seterusnya untuk bahagian dua nanti akan dibincangkan mengenai perkara pertama iaitu Pembangunan Organisasi. Nantikan...
0 KOMEN:
Post a Comment