Pages

Saturday, April 03, 2010

Perutusan YDP 2010/2011

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah S.W.T kerana telah mengurniakan kepada kita dengan pelbagai nikmat. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Tidak dilupakan kepada para pendokong agama Islam yang suci ini sejak dahulu hingga kini. Mudah-mudahan kita semua berada di bawah payungan ramat dan keberkatan daripada Allah S.W.T.

Sahabat seperjuangan sekalian,

Taklifan merupakan suatu amanah dan menunaikan amanah merupakan suatu kewajipan. Tanggal 28 Mac 2010 menjadi saksi bahawa tampuk kepimpinan PERMADAH telah bertukar tangan daripada pimpinan lama kepada pimpinan baru. Pastinya tarikh keramat ini bakal tercatat dalam lipatan sejarah PERMADAH khususnya. Inilah perkara yang lazim berlaku pada mana-mana persatuan atau pertubuhan di mana-mana peringkat kerana “yang patah kan tumbuh dan yang hilang kan berganti”. Jika kita imbau kepada lipatan sejarah Islam, proses peralihan tampuk kepimpinan ini juga telah berlaku pada zaman tersebut. Bukti yang jelas berlaku pada zaman sahabat iaitu ketika pertukaran tampuk kepimpinan khulafa’ al-rasyidin dan berlaku juga proses ini pada zaman-zaman selepasnya sehinggalah kepada zaman kita pada hari ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perbezaan dalam sistem pentadbiran pada setiap zaman tersebut. Begitu juga halnya dalam PERMADAH ini. Namun, variasi yang berlaku adalah menjurus kepada kebaikan dan kemaslahatan umum, bukan atas dasar kepentingan peribadi dan sebagainya. Kerana kita mahukan yang terbaik daripada yang terbaik.

Sahabat sekalian,

Sudah 33 tahun PERMADAH bertapak di UM ini. Pastinya dalam tempoh tersebut, pelbagai suka dan duka, rintangan dan cabaran telah diharungi oleh PERMADAH dalam menjayakan misi dan visi persatuan. Segala suka dan duka yang dilalui bersama antara pimpinan dan ahli PERMADAH ini sebenarnya telah menyebabkan terjalinnya ukhuwah yang mantap antara kita dan inilah asas kekuatan PERMADAH selama ini sehingga berjaya mengekalkan kemegahan dan keunggulannya sehingga ke hari ini. Apa yang saya harapkan adalah semoga kita bersama-sama mendokong dan memacu PERMADAH menuju ke puncak kegemilangan tanpa mengira pangkat, bangsa, agama, fakulti, jurusan pengajian dan sebagainya kerana “PERMADAH MILIK BERSAMA”.

Akhir kalam, doakanlah kami barisan kepimpinan baru PERMADAH bagi sesi 2010/2011 ini agar kami dapat menunaikan amanah kepimpinan ini dengan baik dan lancar. Sokongan padu dan doa daripada seluruh ahli PERMADAH amat bermakna bagi kami kerana tanpa kalian, PERMADAH tidak akan mencapai keunggulan yang gemilang seperti yang sama-sama kita harapkan.

Sekian, assalamualaikum….

MOHD NOOR FAZRIN BIN MUSTAFFA
YANG DIPERTUA PERMADAH SESI 2010/2011

0 KOMEN: