Pages

Monday, July 13, 2009

Timb Bendahari:Salam Perkenalan Dan Perpaduan


Salam perkenalan buat semua dan selamat melayarkan bahtera dalam langkah perjalanan mencari dan menuntut ilmu di Universiti Malaya, Universiti Perdana yang kita cintai ini. Diharapkan kepada semua mahasiswa Universiti Malaya terutamanya mahasiswa-mahasiswa dan mahasiswi-mahasiswi anak Kedah, membuka lembaran pengajian kali ini dengan azam yang baru, dengan semangat yang lebih jitu.

Belum terlambat kiranya (sebab masih di awal semester dan sebahagian dari kita mungkin belum pun lagi memulakan kuliah mahupun toturial pada minggu lepas), diucapkan selamat datang kepada mahasiswa-mahasiswa tahun pertama, yang baru mendaftarkan diri baru-baru ini. Semoga kehadiran anda di bumi Universiti Malaya ini, menghadirkan sinar yang lebih gemilang buat universiti ini. Pesanan buat mahasiswa-mahasiswa yang lebih senior, berilah tunjuk ajar dan panduan buat adik-adik kita ini, kerana kita juga ibarat satu keluarga besar Universiti Malaya, tanpa mengira bangsa, agama, budaya, fakulti, kolej dan sebagainya.

Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH) Universiti Malaya sesi 2009/2010, terutama mewakili suara mahasiswi PERMADAH UM, mengalu-alukan kedatangan semua dan menghulurkan salam perkenalan dari barisan kepimpinan sesi ini, tidak kira kepada mahasiswa tahun satu, ataupun mahasiswa tahun kedua, ketiga, keempat, mahasiswa tahun akhir dan sebagainya, malah kita perlu membina satu ikatan kekeluargaan dalam mengharungi kehidupan di bumi Universiti Malaya ini.

Baru-baru ini pun, di permulaan semester baru ini, PERMADAH UM telah mengorak langkah, turun bersama dengan masyarakat, dengan menganjurkan majlis Musabaqah Al-Quran peringkat kanak-kanak dan remaja, dengan kerjasama penduduk pangsapuri Damansara Bestari. Jadi, penglibatan dan komitmen yang ditunjukkan inilah, membuktikan PERMADAH UM sememangnya sebuah gerakan perjuangan yang menerajui mahasiswa dan masyarakat, berteraskan kebersamaan, keintelektualan dan profesional, seperti mana visi yang menjadi agenda kepimpinan PERMADAH UM pada kali ini.

Ayuh semua!!
Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH) Universiti Malaya, mengajak kepada semua terutamanya mahasiswa-mahasiswa Kedah di Universiti Malaya ini, dapat berganding bahu, memberikan kerjasama dan bersama-sama mendokong segala apa yang diusahakan oleh PERMADAH UM kepimpinan sesi kali ini.



p/s : Saya akan ’kembali’ lagi dalam ruangan blog ni, untuk merespon isu-isu, memberi komen, pendapat dan sebagainya. Ucapan ni, mungkin permulaan langkah pertama, sebagai alu-aluan dari saya.


Oleh : Nurul Sakinah Binti Ahmad
Timb. Bendahari PERMADAH UM sesi 2009/2010


0 KOMEN: