Pages

Monday, September 22, 2008

PERUTUSAN PRESIDEN PERMADAH 2008/09 SEMPENA SYAWAL 1419H




Assalamualaikum w.b.t, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t atas nikmat Islam dan Iman serta kasih sayang yang diberikan. Kita semua masih mempunyai kesempatan untuk bertemu Ramdhan pada tahun ini dan bakal bertemu pula hari kemenangan umat Islam iaitu Aidilfitri.

Aidilfitri merupakan hadiah buat umat Islam seluruh dunia dan kita diwajibkan untuk meraikan hari kebesaran umat Islam ini berlandaskan lunas-lunas syarak. Bukan disambut dengan mengikut hawa nafsu dan mengenepikan landasan syariat Islam. Keadaan ini akan menafikan sifat fitrah yang dikurniakan Allah kepada manusia, serta menafikan roh tarbiyah yang diperolehi sebulan di bulan Ramadhan. Terdapat segelintir umat Islam yang menyimpang lari dari konsep hari kebesaran yang dikurniakan Allah ini dengan meraikan aidilfitri dengan hiburan dan budaya hedonism yang melalaikan.

Didikan Ramadhan yang disertai dengan amalan kebajikan yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan perlu dilakukan dengan istiqamah pada bulan-bulan yang lain. Taqwa dan keampunan dosa daripada Allah merupakan harapan tertinggi oleh kita semua sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah yang fana ini. Taqwalah yang membezakan seseorang hamba dengan hamba Allah yang lain.
Dalam mendambakan redha Allah, terdapat keutamaan kedua yang perlu dilihat oleh kita, Aidilfitri juga merupakan medan umat Islam untuk membina hubungan dan medan memohon kemaafan antara satu dengan yang lain. Hubungan manusia dengan manusia perlu diwujudkan, memohon dan memberi kemaafan perlu diterapkan terutamanya dalam keluarga PERMADAH. Sikap bermaafan merupakan fitrah kehidupan manusia yang diterapkan oleh Islam kepada umat manusia untuk menjamin kesejahteraan dan memberi rahmat di seluruh alam .

Baginda Rasullulah turut mendidik Umat Islam dengan amalan dan qudwah hasanah, saling memohon kemaafan. Malah Baginda sendiri turut memaafkan umatnya. Dalam kontek kita sebagai seorang anak dan pelajar , ambillah peluang ini untuk memohon keampunan dan keredhaan kedua ibu bapa. Tidak dilupakan juga kepada para pensyarah. Kesibukan masa dengan budaya ilmu serta berpersatuan tidak menghalang kita untuk memohon keampunan ibu bapa. Redha ibu bapa juga merupakan redha Allah.

Akhir kalam, saya selaku Presiden PERMADAH sesi 08/09 mengucapkan selamat beribadah di suku akhir Ramadhan dan selamat menyambut Aidilfitri yang mulia. Semoga Ramadhan kali lebih baik dari sebelumnya. Sekian, terima kasih.

AMIN BIN HAJI CHE AHMAT
TAHUN 3
USULUDDIN
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
amin_permadah@yahoo.com (013-2965308)


0 KOMEN: