MUQADDIMAH
Assalamualaikum W.B.T
Firman Yang Maha Kuasa,
“ Dan siapakah yang lebih mulia berbanding dengan orang yang menyeru ke arah jalan Allah, dan beramal soleh dan menyatakan sesungguhnya aku terdiri dari kalangan orang yang menyerahkan diri kepada Allah SWT ”
Sabda Nabi S.A.W.
“Sesungguhnya orang yang berpegang dengan agama di akhir zaman ibarat berpegang kepada bara api”
Saya melahirkan perasaan syukur kegembiraan ke hadrat Allah SWT yang telah memberi keizinan kepada PERMADAH untuk mengadakan mesyuarat agung untuk membentangkan dan membincangkan perjalanan kita selama satu sesi dan seterusnya menyerahkan mandat perjuangan ini kepada generasi yang seterusnya. Kegembiraan saya semakin bertambah dengan kehadiran adik beradik sekalian yang merupakan keluarga besar PERMADAH yang saya kira kehadiran ini sudah pasti membawa 1001 rahmat. Ini membuatkan saya terimbau pengalaman dan kenangan kita bersama di dalam menempuhi suka,duka,pahit dan manis selama satu sesi ini di dalam PERMADAH.
Kata penya’ir,
“Kita punya tangan, kita akan berusaha,
Esok masih ada ,usaha mesti diteruskan”
Pada kesempatan yang ada ini, saya ingin berkongsi sedikit pandangan saya terhadap terhadap PERMADAH, juga berkongsi tentang apa yang telah ditempa oleh PERMADAH sepanjang sesi kepimpinan kami ini.Insyaallah kita akan membuka peluang seluas-luasnya untuk ahli-ahli PERMADAH menilai kerja buat kami pimpinan PERMADAH sepanjang sesi ini. Sama-sama kita saling tegur-menegur dan memperbetulkan apa yang salah semoga dapat menjadi iktibar kepada kami dan kepimpinan yang akan datang.
KEJAYAAN PERMADAH
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Sebagai salah satu persatuan yang memainkan peranan penting di Universiti Malaya ini, kita perlu terus bergerak gagah kehadapan dengan menonjolkan imej dan teladan yang baik. Dalam hal ini, pelbagai program yang telah kita laksanakan sepanjang sesi yang sekaligus mencerminkan kewibawaan PERMADAH. Antara projek-projek yang telah dilaksanakan ialah Minggu Promosi Persatuan (PROMO 07), Interaksi Darul Aman 07 (INDAH07), Citarasa Utara 07, Wacana Mubarak (Warak 07), Lambaian Jelapang 07, Akademi Kepimpinan 3 (AK3), Hari Keluarga PERMADAH (HARAPAN08), Akademi Kepimpinan 4 (AK4), Bengkel Pengurusan PERMADAH, Kejohanan Futsal Open Piala Pengarah Pusat Sukan (SUPER 08), Diskusi Wanita (Diwani), dan Majlis Memperingati Sultanah Bahiyyah sebagai Canselor Universiti Malaya (Dinner 08).
Untuk pengetahuan semua pihak, sepanjang sesi dan cuti semester yang lalu kita disibukkan pelbagai program motivasi atas jemputan pelbagai pihak yang dikendalikan oleh Kelab Fasilitator PERMADAH sabagai koordinator kita. Perkara ini telah menjadi kebiasaan bagi kita dan kita menjangkakan perkara yang sama yang akan berlaku pada cuti semester ini. Oleh itu saya mengharapkan ahli-ahli PERMADAH dapat turut serta membantu dan meyumbangkan tenaga dan idea untuk kebaikan semua pihak.
TEGUH BERSATU MEMIMPIN PERJUANGAN
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Di dalam usaha kita untuk meneruskan perjuangan ini, kita telah memperkenalkan satu visi untuk menjadikan PERMADAH bukan sekadar persatuan tetapi sebagai salah satu gerakan mahasiswa yang memainkan peranan yang aktif membela kebajikan mahasiswa dan rakyat. Visi tersebut ialah untuk ‘Melonjakkan PERMADAH sebagai sebuah gerakan perjuangan mahasiswa yang mengimbangi dan mengharmonikan elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan’. Apa yang kita hendak laksanakan ini tidak mungkin akan dapat kita capai dalam masa yang singkat. Kita meletakkan jangkamasa untuk kita mula mencapai hasil yang diharapkan. Oleh itu kita berusaha mempersiapkan ahli-ahli PERMADAH ke arah itu melalui pelbagai aktiviti dalaman dan luaran yang kita laksanakan sepanjang sesi ini.
Untuk merealisasikan visi itu, kita telah menetapkan beberapa misi yang boleh memangkinkan kejayaan perlaksanaannya. Yang pertamanya, mewujudkan ikatan atau ukhwah dikalangan ahli-ahli PERMADAH dengan berpaksikan ilmu sebagai medium utama. Hal ini dilakukan dengan memperkasakan aktiviti Diskusi Ilmiah dikalangan ahli-ahli di pelbagai peringkat. Pada sesi ini tumpuan kita adalah lebih memfokuskan kepada ahli-ahli tahun pertama dan kedua. Disamping itu, ikatan ukhwah ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai saluran yang lain tanpa mengenetepikan ilmu sebagai paksi. Misi ini kita ringkaskan sebagai Ukhwah Keilmuan.
Yang keduanya, kita memfokuskan soal pembinaan kepimpinan samaada dari sudut individu dan kumpulan. Matlamat kita ialah untuk membentuk kepimpinan berprestij yang bertunjangkan gerakkerja berpasukan dengan menghikmahkan segala kekuatan dan membudayakan kebersamaan antara pimpinan dan ahli dalam melaksanakan amanah serta menempuh cabaran. Ini kerana kita menyedari bahawa sesebuah organisasi akan bergerak mengikuti peranan yang dimainkan oleh kepimpinannya. Oleh itu, pentingnya kepimpinan yang ada menyediakan ahli-ahli PERMADAH yang berwibawa mewarisi perjuangan.
Yang ketiganya, Ekonomi Keusahawanan. Kita telah menjanakan ekonomi persatuan berasaskan kegiatan keusahawanan seperti menghasilkan beberapa produk-produk yang diniagakan kepada ahli-ahli dan pihak-pihak lain seperti t-shirt PERMADAH, tali kad matrik, cenderamata PERMADAH dan lain-lain.. Penekanan dari sudut pemupukan minda usahawan harus dipasakkan kepada ahli-ahli supaya ia menjadi satu imej baru kepada ahli-ahli persatuan.
Yang keempatnya, perjuangan kebajikan yang merangkumi semua pihak samaada mahasiswa mahupun masyarakat. Pada sesi ini, kita telah menubuhkan sebuah exco yang khusus untuk menjaga kebajikan mahasiswa PERMADAH dan masyarakat iaitu Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan. Banyak musibah yang telah berlaku kepada ahli-ahli Permadah sepanjang sesi ini seperti kehilangan motor, kematian orang tersayang, kemalangan dan sebagainya telah mendapat perhatian yang serius daripada pimpinan PERMADAH dan alhamdulillah kita telah berusaha untuk membantu bagi meringankan beban mereka seperti membuat kutipan derma, menjadi orang tengah dengan pihak pengurusan universiti untuk mendapat peruntukkan musibah dan sebagainya.
Selain itu, untuk menjaga kebajikan ini, pelbagai usaha boleh dilakukan dengan memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan soal kebajikan rakyat samaada melalui media ataupun menghantar memorandum bagi membuktikan bahawa golongan mahasiswa begitu prihatin terhadap apa yang menimpa masyarakat kini. Jika dilihat pada hari ini, masih ada lagi masyarakat yang dicengkam dengan kemiskinan. Selain itu, keadaan gejala sosial dikalangan remaja yang semakin membimbangkan dan berlakunya beberapa bencana yang menimpa negara kita. Ini semua adalah peluang untuk persatuan mahasiswa melaksanakan tanggungjawabnya.
Yang kelimanya, kita hendaklah mencipta kreativiti dalam melaksanakan kegiatan luar seperti sukan, kebudayaan, rekreasi dan lain-lain. Alhamdulillah, kita telah berjaya melaksanakan Kejohanan Futsal Open Piala Pengarah Pusat Sukan (SUPER 08) yang menyaksikan penyertaan pemain-pemain Malaysia dan juga pemain-pemain antarabangsa seperti Iran. Ini kerana kita mahu dilihat sebagai pencipta kelainan dalam program yang diadakan. Inilah yang kita namakan sebagai Rehlah Kreatif.
PERMADAH SEBAGAI GERAKAN PERJUANGAN MAHASISWA
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Kita berani menyatakan bahawa pilihanraya kampus tidak akan meriah tanpa penyertaan daripada ahli-ahli PERMADAH. Ini adalah kerana kebanyakkan calon-calon pilihanraya kampus sebelum ini adalah terdiri daripada ahli-ahli PERMADAH samada di kalangan Pro-Mahasiswa ataupun Aspirasi.
Pada pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini, kita juga tidak ketinggalan untuk menimbulkan kesedaran dikalangan ahli PERMADAH untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai seorang pengundi untuk mengundi .Kita berusaha mengejutkan orang yang sedang lena tidur bahawa mereka sekarang sedang dikongkong dengan penjajahan barat. Kita membisikkan kepada mereka bahawa tiada gunanya mahasiswa selaku golongan intelektual hanya berpeluk tubuh, tidak memikirkan masyarakat sekelilingnya dan tidak langsung bertindak terhadap isu-isu nasib rakyat yang terpinggir terutamanya di Kedah yang mana kita semua menyedari masih wujud lagi kemiskinan di Kedah. Hal-hal inilah yang kita boleh perjuangkan disamping dapat membantu kerajaan lebih peka terhadap kebajikan rakyat yang kadang-kadang mereka terlepas pandang. Kita juga mahu menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan Kedah.
PERMADAH SEBAGAI PUSAT ILMU BERORGANISASI
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Menghadapi realiti hari ini, suasana dan tuntutan organisasi telah banyak mengalami perubahan dan pergerakan yang mana kita tidak boleh ketinggalan atau mengecualikan daripada mengikuti pergerakan tersebut. Kegagalan kita berbuat demikian akan mengakibatkan kita tiada nilai atau semakin dipinggirkan arus semasa. Dunia hari ini merupakan dunia ilmu dan maklumat. Dalam menghadapi keadaan ini, PERMADAH bersiap sedia menjadi wadah atau pusat berorganisasi yang mempunyai kemampuan dan kekuatan membekalkan ahli-ahlinya dengan ilmu dan pengalaman berorganisasi. Kita mahu mengeluarkan ramai-ramai ahli-ahli PERMADAH yang berkemahiran dalam organisasi.
Untuk proses ini, pimpinan-pimpinan PERMADAH perlu bersedia dari segi mental dan fizikal menyediakan PERMADAH dalam suasana sebagai pusat untuk belajar dan sekaligus menimba penglaman dalam organisasi. Kita mahu ahli-ahli yang dikeluarkan oleh PERMADAH benar-benar memahami selok belok dalam organiasi. Ini dapat dilakukan dengan mendedahkan mereka dengan pelbagai program dalam PERMADAH dengan tunjuk ajar yang berkesan dari barisan pimpinan persatuan.
Dengan label sebagai pusat ilmu dan pengalaman berorganisasi ini, kita sebenarnya melengkapkan kehidupan mahasiswa-mahasiswa UM dengan satu cabang ilmu yang tidak disentuh atau ditekankan didalam kuliah-kuliah akademik. Inilah sebenarnya perkara yang menjadi kewajiban kepada kita sebagai persatuan pelajar untuk melengkapkan proses pendidikan di universiti.
PEMERKASAAN SALURAN MAKLUMAT
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Menyedari pentingnya kitaran maklumat di dalam menyampaikan maklumat kepada ahli-ahli PERMADAH, kita memperkasakan blog PERMADAH yang diuruskan oleh Exco Penerbitan dan Multimedia dan blog ini merupakan wadah utama yang digunakan untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada ahli dan juga masyarakat luar.
Pimpinan juga mengorak langkah mengambil bahagian di dalam menyampaikan terus maklumat bagi bidang tugas masing-masing dengan membuat blog dan ini memudahkan ahli-ahli mendapat maklumat yang cepat,tepat dan terkini.
Selain itu, terdapat pelbagai lagi risalah dan buletin yang dikeluarkan oleh PERMADAH yang berperanan menerangkan dasar-dasar PERMADAH kepada ahli-ahlinya. Walau apa pun, penerbitan risalah-risalah kecil ini hanyalah sebagai permulaan untuk mencetuskan penerbitan berskala besar seperti majalah dan sebagainya. Kita mengharapkan riak risalah yang kecil ini akan mencetuskan gelombang penerbitan dan maklumat yang besar dalam PERMADAH selepas ini.
PEMBANGUNAN AHLI DAN PERKONGSIAN NILAI
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
PERMADAH adalah untuk semua, tanpa mengira bangsa mahupun agama. PERMADAH bukan hanya milik eksklusif mahasiswa Kedah bahkan kita sangat berbangga dengan kehadiran sahabat-sahabat kita daripada negeri-negeri lain yang sanggup bersama dengan PERMADAH di dalam mendokong pelaksanaan visi dan misi PERMADAH.
Untuk memastikan kelangsungan kepimpinan dan perjuangan PERMADAH jangka panjang, pada sesi ini kita juga banyak menumpukan kepada sudut pembangunan ahli disamping memperkasakan program-program PERMADAH. Kita telah meneruskan Akademi Kepimpinan yang ke 3 dan ke 4 untuk melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin mahasiswa yang berwibawa selain mendedahkan ahli-ahli PERMADAH dengan ilmu dan pengalaman dalam kepimpinan. Aktiviti seperti ini akan mendatangkan keuntungan PERMADAH dari sudut jangka panjangnya kerana kita dapat menyediakan ramai barisan pelapis yang memahami selok belok PERMADAH. Kematangan mereka dalam PERMADAH boleh menjayakan agenda-agenda persatuan. Selain itu,kita juga amat berbangga kerana ada dikalangan ahli-ahli yang ditarbiyah di dalam Akademi Kepimpinan ini telah dilantik untuk menerajui kepimpinan persatuan-persatuan lain untuk sesi yang baru ini. Ini membuktikan bahawa program ini bukan sahaja menyediakan pemimpin-pemimpin pelapis untuk PERMADAH tetapi juga untuk persatuan-persatuan lain.
Seterusnya saya cukup menyakini bahawa persaudaraan yang wujud dalam diri keluarga besar PERMADAH adalah sangat kuat dan utuh. Ahli PERMADAH memang terkenal sebagai sebuah keluarga yang gembira dengan kesenangan saudaranya dan akan berasa sedih dan bersusah hati malah turut berkabung dengan kesedihan yang menimpa saudaranya.
Mungkin ramai yang tidak tahu, ada kalangan kita yang mendermakan ratusan ringgit setakat ini untuk memastikan pelbagai program dapat dilaksanakan,, bersengkang mata menahan mengantuk di siang dan malam hari untuk berbincang dan melaksanakan program yang dirancang dan meninggalkan masa rehat hanya semata-mata ingin bersama-sama melaksanakan agenda-agenda persatuan.
Lantaran itu, saya berani menyatakan kebanggaan saya terhadap ahli-ahli yang sanggup bersama pimpinan sesi ini. Orang tidak tahu, namun itu tidak menghalang kita untuk terus berjuang. Sesungguhnya hidup dan mati,amal serta perilaku kita hanyalah didambakan untuk meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
PERMADAH DI HATIKU
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Di dalam usaha kita untuk memacu perjuangan ini dan untuk menjadikan PERMADAH bukan sekadar persatuan tetapi sebagai salah satu gerakan mahasiswa yang memainkan peranan yang aktif membela kebajikan mahasiswa dan rakyat, kita akan berusaha untuk menjadikan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Syafinaz sebagai penaung PERMADAH sebagaimana sebelum ini secara tidak rasmi Tunku Puteri menyatakan berkenan untuk menaungi PERMADAH.
Selain itu, untuk sesi ini juga, kita telah menjadi perintis secara rasmi untuk mengumpulkan ahli-ahli PERMADAH sebelum ini untuk disatukan di dalam Alumni PERMADAH bagi memastikan sokongan yang amat kuat kepada persatuan samada di sudut idea dan kewangan.
HARAPAN
Adik-beradik PERMADAH yang dihormati,
Akhirnya, saya meletakkan harapan yang begitu tinggi agar kita dapat terus beriltizam dengan PERMADAH dan meningkatkan prestasi dalam mendukung persatuan dan perjuangan kita. Kejayaan yang kita harapkan tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan, kesungguhan dan keikhlasan dalam memperkemaskan gerak kerja. AGM pada kali ini hendaklah dijadikan medan untuk kita berusaha memperbaiki kekurangan yang berlaku dan melontarkan idea yang dapat kita aplikasi dalam PERMADAH ini. Janganlah kita menjadikan AGM ini sebagai tempat untuk berbalah dan berpecah belah. Marilah kita kuatkan persatuan, kekalkan muafakat. Oleh itu, saya mengharapkan AGM pada kali ini hendaklah ditumpukan dengan begitu serius untuk memastikan PERMADAH terus mengukir gemilang.
Buat akhirnya, Semoga Allah S.W.T merestui kita dan meredhai apa yang kita laksanakan. Sekadar itu ucapan
saya pada kali ini. Sekian.
Wassalam.
0 KOMEN:
Post a Comment